Wednesday, July 28, 2010

pemerdagangan manusia

Pemerdagangan manusia adalah perdagangan dan perniagaan dalam pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh sah serta buruh paksa. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, pelindungan, atau penerimaan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan atau ikatan hutang).
Pengekspoitan termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan awal, atau rekrut bagi tentera kanak-kanak, pengemis dan tujuan sukan, atau untuk sesetengah kumpulan agama.
Pemerdagangan orang adalah satu bentuk perhambaan masa kini, Antara penyebab
utama ialah permintaan terhadap tenaga buruh, perkhidmatan seksual dan jeratan hutang. Kekurangan peluang meningkatkan pendapatan sumber keluarga ( kemiskinan ) serta kekurangan kesedaran kuasa kemasyarakatan juga antara faktor-faktor penyumbang.

Secara umum kegiatan pemerdagangan orang, melibatkan pengiayaan kepada mangsa antaranya dirogol, diseksa, dipaksa berkerja, dikurung atau kebebasan mereka disekat, ancaman bunuh keatas ahli keluarga dan sebagainya.

Jenayah perdagangan orang ini kebiasaannya jenayah merentasi sempadan dan menjatuhkan maruah dan martabat manusia sehingga mereka diperdagangkan, mangsa kebiasaanya tidak mempunyai pilihan lain dan tidak dapat melaporkan penderitaan mereka akibat kawalan ketat oleh sindiket.

Hasil kajian oleh badan-badan bebas dan berdasarkan beberapa kes yang berlaku didapati, Negara Malaysia khususnys negeri Sabah adalah salah satu destinasi, dan sumber serta Negeri persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak yang diperdagangkan untuk ekploitasi seks secara komesial dan buruh paksa bagi lelaki.

Menyedari hakikat ini kerajaan Malaysia melalui sidang Parlimen telah meluluskan akta Pemerdagangan orang APO 670-2007 dan diwartakan Febuari 2008.

Mengapa pemerdagangan manusia berlaku? Kajian Kesatuan Eropah dan Jabatan Negara Amerika menunjukkan kegiatan Pemerdagangan Manusia mendatangkan keuntungan yang begitu besar dan dianggarkan kegiatan pemerdagangan Manusia melibatkan wang US 33 bilion setahun( angka tidak rasmi ) Kegiatan Pemerdagangan manusianya bukan sahaja berlaku di negera-negara mundur/miskin tetapi juga negara-negara maju. Persoalannya bagaimana pemerdagangan manusia ini berlaku ?, bagaimana ianya dilakukan dan siapa pelakunya ?. Untuk memahami istilah pemerdagangan Manusia perkara pokok yang perlu diketahui ialah difenisi Trafiking itu sendiri.

Pada umumnya definisi Trafiking menurut tafsiran protokol bangsa-bangsa bersatu ( PBB ) dalam mencegah, menyekat dan menghukum Pemerdagangan orang terutama dikalangan Wanita dan kanak, Artikel 3 Protokol PBB
Perdagangan orang bermakna perekrutan, pengangkutan, pemindahan, penampungan atau penerimaan orang, dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan lain, penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan kerentanan, atau memberi atau menerima bayaran atau pemanfaatan untuk mencapai persetujuan seseorang yang mempunyai kawalan keatas orang lain, untuk tujuan eksploitasi
Eksploitasi meliputi, paling minimum, eksploitasi pelacuran terhadap orang lain atau bentuk-bentuk eksploitasi seks lain, buruh atau kerja paksa perhambaan atau amalan menyerupai perhambaan, atau pemindahan organ-organ;

Untuk kefahaman lebih lanjut Perdagangan manusia berlaku apabila ada proses, atau ada jalan/cara( bagaimana dilakukan ) dan ada tujuan.

SIAPA MANGSA TRAFIKING MANUSIA.
Kebiasaannya trafiking manusia dilakukan kepada wanita dan kanak-kanak adalah atas menjanjikan pekerajaan dengan gaji/pendapatan yang lebih baik berbanding dengan pekerjaan tempat asal selain daripada niat ikhlas mangsa untuk membantu keluarga.

PELAKU
Trafiking manusia selalunya dilakukan oleh orang terdekat, kenalan dan kadangkala dikalangan ahli keluarga sendiri selain daripada kegiatan sendikit melalui penculikan.

Dalam kes-kes tertentu adakalanya kegiatan ini pada mulanya bukan diketegorikan sebagai kes trafiking, ini disebabkan mereka ( mangsa ) sememangnya direkrut untuk berkerja sesuai dengan kemahiran yang dimiliki, namun pihak ketiga ( pembayar upah ) melihat mangsa mampu mendatangkan keuntungan yang lumayan khususnya dalam kegiatan seks komersial.

Berdasarkan faktor-faktor yang digariskan memang tidak dapat dinafikan bahawa pemerdagangan orang sememangnya berlaku malah mengikut kajian yang dilakukan Oleh AHDC dan ICMC Pemerdagangan orang berada dirangking kedua dibelakang kegiatan pengedaran dadah, Sementara pengedaran senjata di tempat ketiga. Memandangkan perdagangan Orang mengakibatkan kesan negetif kepada mangsa dan ahli keluarga, serta mencalarkan imej negara-negara terlibat, Pelaksanaan dan penguatkuasaan APO 670-2007 secara bersendirian tampa sudah pasti tidak mampu menangani masalah ini secara berkesan, Tindakan bersepadu semua pihak terutamanya pihak diberkuasa ( di Malaysia PDRM, KASTAM, IMIGRESEN dan AGENSI MIRITTIM ANTARABANGSA MALAYSIA (APMM) amat diharapkan, kesedaran dan rasa tanggungjawab sesama manusia dikalangan masyarakat juga amat dialu-alukan selain daripada keruntuhan Insitusi keluarga dan kekurangan didikan agama juga perlu diperbaiki bagi mengelakkan ada dikalangan ahli masyarakat menjadi mangsa atau pelaku perdagangan Manusia.

Monday, March 29, 2010

KEMPEN BUDI BAHASA
Definisi ‘kempen’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah segala usaha(kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan (rayuan dan lain-lain) untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu(matlamat dan lain-lain). ‘Budi bahasa’ pula bermaksud tingkah laku dan perbuatan. Jika digabungkan perkataan ‘nilai’ menurut W.G.Ricky & Pustay, 1999 dan perkataan ‘murni’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka perkataan ‘nilai murni’ boleh ditafsirkan sebagai prinsip, standard dan tatacara tindakan seseorang dalam sesuatu organisasi tanpa mengandungi unsur-unsur asing(biasanya unsur-unsur yang mencemarkan) bersih benar,suci, dan tulen. Dari definisi-definisi diatas dapatlah disimpulkan bahawa Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni bermaksud usaha yang terancang untuk menghasilkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan tingkahlaku dan perbuatan berdasarkan prinsip dan standard yang elok dan baik. Melalui usaha yang terancang dan ditambah dengan matlamat yang jelas, sesuatu kempen itu akan dapat membuahkan hasil.

Persoalan yang perlu dijawab adalah, mengapakah Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni dalam sebuah masyarakat yang berteraskan keluhuran budaya dan keampuhan budi yang tersohor perlu diadakan. Masyarakat Malaysia yang berteraskan budaya Melayu sebagai pendokong, merupakan satu budaya yang terkenal di seluruh dunia. Orang Melayu sebagai bangsa yang lemah-lembut dan berbudi bahasa sudah menjadi perbualan diseluruh dunia. Apakah kempen sebegini masih diperlukan? Sukar untuk menjawabnya. Kesedaran kerajaan akan kewujudan kelemahan dikalangan masyarakat dan khususnya kakitangan kerajaan dalam aspek ini menjadi justifikasi kepada kempen. Ini bukanlah menunjukkan kita sudah tidak berbudi bahasa, tetapi kita perlu memperbetulkan apa yang ada dan menambah apa yang kurang.

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi bertempat di Istana Budaya bertarikh 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari ini demi kesejahteraan masa depan. Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara (DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004. Seminar ini membincangkan mengenai penyematan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan warga cemerlang sebagai `masyarakat kelas satu’ di sebuah negara ‘kelas pertama.’

Kempen ini adalah merupakan sambungan kepada pelbagai bentuk program penerapan nilai yang telah dilaksanakan secara berterusan sebelum ini yang telah berjaya menanam asas keutuhan yang kuat. Walaubagaimana pun permasalahan nilai dan kelemahan integriti masyarakat masih berlaku dengan ketara. Budi bahasa dan amalan murni tidak boleh bercambah dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bersama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Untuk itu kita perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu. Gerakan dan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni ini adalah puncak daripada tindakan kerajaan untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi serta perilaku warganegara Malaysia di semua peringkat. Kempen ini diharap akan dapat meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, dan maklumat yang tiada batasnya, masyarakat yang dahulunya tidak banyak terdedah dengan persekitaran sejagat sekarang segalanya berada dihujung jari seperti penggunaan internet di mana teknologi ini membolehkan rakyat Malaysia menggunakannya untuk mendapatkan maklumat. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan budaya bangsa Malaysia. Tanpa disedari budaya negatif boleh meresap dalam diri mereka dan mereka mungkin mengikut dan mengamalkan cara hidup tersebut. Penjajahan budaya hangat diperkatakan di mana remaja kini lebih cenderung memilih idola dari barat seperti penyanyi dan pelakon filem. Ramai yang begitu taksub dengan idola mereka sehingga sanggup meniru cara berpakaian yang menjolok mata, penggunaan perkataan yang kasar serta kesat, cara bergaul tanpa batasan, dan gaya hidup yang jelas melanggar tatasusila masyarakat dan agama. Penerapan nilai dan budaya yang tidak sesuai dengan norma masyarakat mudah diterima jika masyarakat tidak diberi peringatan. Tapisan maklumat dari sumber-sumber yang sukar di kawal menjadi kemahiran yang perlu ada pada diri kita. Jika tidak penerapan nilai yang tidak sejajar dengan budaya kita akan diserap tanpa disedari.

Kerajaan merasakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni perlu diadakan kerana sesetengah rakyat Malaysia kini mengamalkan cara hidup yang kasar, melanggar peraturan bahasa, membelakangkan adap sopan dan tidak mengendahkan tatasusila. Dan sekiranya dilihat kepada jabatan kerajaan secara khususnya cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai terutamanya oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan kurang cekap, ini seterusnya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang ramai yang berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan.. Ada yang menjawab telefon dengan bahasa yang kasar, acuh tak acuh atau panggilan langsung tidak berjawab, surat-menyurat rakyat lambat dijawab, kesungguhan bekerja, menepati masa, hilangnya amalan hormat-menghormati dan lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan secara menyeluruh. Apabila berhadapan dengan pihak yang datang berurusan terdapat kakitangan yang tidak memberikan senyuman dan mengucapkan selamat datang atau assalamualaikum. Sebaliknya yang sering kita dengar adalah rungutan orang ramai tentang sikap kakitangan kerajaan yang menggunakan bahasa kasar serta menengking pelanggan yang datang berurusan. Sikap yang ditunjukkan menjadikan Pejabat-Pejabat Kerajaan dilabel sebagai tempat yang kurang mesra. Walaupun tindakan ini dilakukan oleh segelintir kakitangan, namun kesannya terpaksa dipikul oleh semua kakitangan. Bagaimana segelintir pekerja ini dapat disemai dengan nilai-nilai murni yang luhur ketika berhadapan dengan pelanggan? Apakan peranan ketua jabatan dalam menyemai nilai-nilai sebegini? Kemahiran ketua jabatan dalam bidang komunikasi berkesan akan banyak membantu kakitangan.

Selain daripada isu sikap kakitangan kerajaan apabila berurusan dengan orang ramai, perkara yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini dan perlu di beri perhatian serius adalah masaalah rasuah di kalangan kakitangan kerajaan. Walaupun rasuah di Malaysia belum sampai ke tahap kritikal tetapi kerajaan mahu membenteras rasuah sebelum ianya menjadi satu gejala yang berleluasa. Kurangnya pemahaman nilai murni serta menjalankan kerja secara jujur dan amanah menyebabkan amalan yang buruk itu terus berleluasa. Stigma yang menyatakan kakitangan kerajaan menerima rasuah telah menyebabkan ramai kakitangan kerajaan malu untuk mengaku bahawa mereka bekerja dengan kerajaan Ada juga desas-desus yang menyatakan jika orang bawahan ambil rasuah, bagaimana pula dengan pegawai atasan. Seringkali dipaparkan di akhbar hanya kakitangan bawahan sahaja yang sering didakwa menerima rasuah. Bagaimana dengan pegawai atasan? Adakah mereka boleh terlepas begitu sahaja atau adakah mungkin tidak berlaku gejala rasuah ? Jika jawapan nya ialah ia tidak berlaku, ini merupakan petunujuk yang baik dan ia merupakan contoh yang baik kepada pegawai bawahan. Sebagai ketua kepada sesuatu jabatan atau unit atau kumpulan, contoh dan teladan yang baik akan dicontohi oleh orang bawahan.

Dalam ucapan perasmian Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni, Y.A.B. Perdana Menteri mengulangi sekali lagi mesej yang telah disampaikan beliau kepada Persatuan Oxbridge Malaysia iaitu dalam era globalisasi ini kejayaan negara bergantung kepada pembangunan minda rakyat. Menurut beliau jika kita mempunyai infrastuktur kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga, kita akan pantas dikalahkan oleh negara-negara lain. Malah cita-cita Malaysia untuk mencapai taraf negara maju sangat bergantung kepada pembangunan nilai-nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, beramanah dan akauntabiliti budaya serta sistem nilai di tekankan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Beliau menyatakan bahawa perkara di atas adalah kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju. Beliau turut mengingatkan kita supaya tidak berpuas hati dengan aspek pembangunan luaran sahaja. Aspek dalaman yakni aspek peribadi perlu diperbaiki dan dipertingkatkan untuk mempastikan masyarakat Malaysia dapat menjadi masyarakat yang benar-benar bertamadun. First class infrastructure, third class mentality tepat mengambarkan kerisauan ramai tentang situasi negara pada masa ini di mana sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggaan Malaysia makin terhakis. Memiliki mentaliti kelas pertama amat penting dalam memastikan usaha kerajaan membawa Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Begitu juga jika dilihat kepada infrastuktur kerajaan dengan terdirinya Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ianya berdiri megah dan memukau mata sesiapa yang memandang, dengan segala kemudahan kelas pertama. Bagaimana pula dengan pengisiannya? Menyediakan tenaga kerja dan pegawai kerajaan kelas pertama perlu diperhebat agar ia seiring dengan kemudahan yang ada. Mentaliti kelas pertama dikalangan kakitangan kerajaan ditagih dan nilai-nilai murni perlu menjadi teras kepada mentaliti yang hendak dipupuk. Peranan dan tangungjawab dalam memupuk mentaliti kelas pertama dikalangan kakitangan kerajaan adalah dipikul oleh setipa ketua sesebuah organisasi. Ianya dapat dijayakan dengan dengan memupuk budaya kerja yang terbaik.

Walaupun ekonomi negara terus berkembang pesat dengan penggunaan teknologi terkini, jalanraya dan projek perumahan serta perindustrian moden yang boleh dibanggakan, namun cara pemikiran dan peradaban kita tidak mengalami kemajuan yang sama, malah seolah-olah semakin mundur. Walaupun kita telah meletakkan budi pekerti sebagai asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari Rukunegara sehinggalah kepada Wawasan 2020 namun jelas aspirasi kita dalam bidang pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masakini. Ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan pembangunan rohaniah perlu diperbetulkan dengan segera sebelum budaya masyarakat kita terus merosot terutamanya dalam dunia komunikasi dan materialisme dimana pengaruh negatif senang menular ke dalam diri seseorang yamg tidak memperlengkapkan diri dengan kekuatan dalaman. Oleh kerana itu Y.A.B. Perdana Menteri berharap kempen ini akan megingatkan kita semua kepentingan pembangunan peribadi dalam meningkatkan mutu hidup kita semua supaya kita dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan tanpa mengorbankan peradaban dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

Selepas perasmian rasmi kempen ini oleh Y.A.B. Perdana Menteri, pelancaran di peringkat negeri, daerah dan organisasi telah diadakan. Bagi warga perkhidmatan awam kempen ini dilaksanakan dengan berpaksikan kepada nilai dan etika kerja penjawat awam serta Tonggak 12. Penghayatan nilai dan etika kerja amat penting kerana pelaksanaan dasar-dasar kerajaan memerlukan kakitangan yang cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab untuk memastikan semua dasar dapat direalisasikan pada tahap yang tinggi dan mempunyai imej yang bersih supaya dapat mendukung pembangunan Negara kearah peningkatan kualiti penghidupan rakyat. Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) adalah salah sebuah organisasi kerajaan yang bernaung dibawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia dan turut terlibat secara langsung dalam menjayakan kempen ini supaya semua warga LPM menghayati nilai nilai murni dan membudayakan amalan berbudi bahasa dalam urusan seharian sebagai kakitangan kerajaan.

Dalam organisasi yang mempunyai lebih daripada 500 orang kakitangan dan mempunyai tugas yang mempunyai pelbagai pemeringkatan termasuk mengurus kerja di peringat sulit dan terhad serta berurusan dengan pelbagai peringkat termasuk badan peperiksaan luar negara, institusi pendidikan dan pentaksiran di dalam dan luar negara, media masa, badan-badan bukan kerajaan, pihak sekolah, ibubapa, pelajar dan orang awam, pelbagai kaedah dan aktiviti dapat dilaksanakan untuk menjayakan kempen tersebut.

Kempen tersebut dapat dijayakan dengan effektif dan effisien melalui kepimpinan melalui tauladan. Pemimpin menjadikan tingkahlakunya sebagai tauladan kepada kakitangan bawahan sama ada secara disedari atau tidak. Bak kata pepatah”bapa kencing berdiri, anak kencing berlari”. Jelas daripada pepatah itu sekiranya pemimpin sesuatu organisasi tidak menujukkan sifat dan sikap yang murni dan berbudi pekerti semasa menguruskan organisasi yang diketuainya pekerjanhya akan menunjukkan sikap yang lebih teruk apabila mereka berurusan dengan rakan sekerja atau orang awam yang berurusan dengan mereka. Budi bahasa dan nilai murni adalah ilmu yang tidak dapat di pelajari secara berkesan hanya dengan membaca atau mendengar sahaja seperti ilmu- ilmu lain kerana ianya perlu dihayati. Penghayatan terjadi apabila sesuatu itu dilihat berulang kali dan dicontohi amalan yang dilihat serta dilaksanakan seperti apa yang dilihat Jika pemimpin sesuatu organisasi melayan kakitangannya dengan luhur dan berbudi bahasa, perkara tersebut akan dicontohi dan kakitangan bawahannya akan menjadi segan dan malu untuk melakukan sesuatu yang melanggar peraturan. Dan menjadi lumrah manusia suka mengikut tindak tanduk dan perlakuan orang yang dikaguminya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh masyarakat bawahan. Bagaimana pun sebagai orang yang sering diperhatikan, pemimpin perlulah menjaga tutur kata, gerak laku dan sikap. Setiap tindak tanduk dan perlakuan pemimpin akan diperhatikan dan secara tidak sedar akan menjadi ikutan pengikutnya. Maka dengan itu setiap pemimpin di LPM daripada Pengarah Peperiksaan hingga kepada ketua unit bukan hanya bertanggungjawab memastikan kerja dapat dijalankan dengan baik, tepat dan berjaya tetapi juga wajib menjalankan peranan proaftif bagi menjayakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dengan menjadi role model yang menunjukkan penghayatan nilai murni dan budi bahasa yang diharapkan daripada semua pegawai di bawah kepimpinannya.

Antara contoh pemimpin yang menunjukkan tauladan yang baik ialah Rasulullah SAW, Mahatma Ghandi dan Mother Teresa. Perkara utama yang perlu ditekankan dalam memikul jawatan pemimpin ialah melaksanakan tindakan dan keputusan supaya proses pembentukan sahsiah berakidah di kalangan warga organisasi yang dipimpin. Oleh itu setiap pemimpin yang ada di LPM mesti menjadi pemimpin yang berilmu , peka dengan isu-isu semasa dan mempunyai akhlak terpuji.. Dengan itu seorang pemimpin dapat mencari dan menjana aktiviti yang dapat membantu institusinya menjadi institusi yang disegani dan dihormati. Pemimpin yang sedemikian dapat memimpin warga organisasinya mencapai misi dan visi yang hasratkan. Sebagai seorang pemimpin, kata mesti di kota, janji mesti ditepati dan peraturan mesti dipatuhi. Kita tidak mahu pemimpin yang boleh diibaratkan seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul atau ’cakap tak serupa bikin’ Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa' dan pandai 'mentazkirah' orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Arahan dan peraturan yang diwujudkan mestilah dipatuhi kerana sesuatu peraturan dibuat bukan untuk kakitangan bawahan sahaja tetapi ia juga sepatutnya dipatuhi oleh pemimpin itu sendiri. Apa akan terjadi jika pemimpin organisasi itu sendiri datang lambat ke pejabat? Sudah pasti ia akan di pandang serong dan jika perlakuan yang sama dilakukan oleh pekerja bawahan, sukar baginya untuk menegur dan memberi nasihat. Jika ia merupakan pemimpin yang baik tingkahlakunya, ia tidak perlu bercakap apa-apa. Pekerja bawahannya akan segan dan malu dan akan berubah dengan sendirinya.

Kepimpinan melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini. Oleh yang demikian setiap lapisan peringkat kepimpinan di LPM mesti memastikan sentiasa menjadi contoh yang baik kepada mereka yang dipimpin supaya semua warga LPM akan mengikut corak keperibadian yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan dalam menjalankan tugas baik semasa berurusan rasmi atau tidak rasmi. Dengan itu keberkesanan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dapat dilihat dihayati dan dipraktikkan oleh semua warga LPM dalam semua urusan harian sama ada semasa berurusan dengan orang awam atau dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan .

Selain daripada itu, ceramah, seminar dan bengkel perlu di adakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.Ceramah adalah cara yang berkesan untuk memberi input dan ilmu tentang kenapa kempen ini dilaksanakan, matlamat dan tujuan kempen ini dan bagaimana kita sebagai rakyat amnya dan kakitangan kerajaan khasnya dapat merealisasikan objektif kempen ini. Ceramah berkaitan kempen ini dapat di adakan secara langsung dengan menjemput penceramah daripada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kempen ini. Apabila penerangan tentang kempen ini diterima secara terus daripada mereka yang terlibat dengan perlaksanaan kempen ini, warga LPM akan dapat memperoleh maklumat yang jelas dan lengkap tentang peri pentingnya semua pihak memastikan kejayaan kempen ini demi kecemerlangan negara. Warga LPM juga akan berpeluang bertanya kepada penceramah untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang pelaksanaan kempen ini dan bagaimana warga LPM dapat memberi sumbangan dalam menjayakan kempen ini. Walaubagaimanapun ianya boleh juga dijalankan secara tidak langsung dengan menyelitkan unsur-unsur nilai dan budi pekerti dalam ceramah –ceramah peningkatan professionalisme, pengurusan, agama dan ceramah ilmuan yang sering di kelolakan oleh LPM untuk kakitangannya dan pertugas-petugas peperiksaan seperti pengawas peperiksaan, pemeriksa dan pegawai meja di negeri. Unsur-unsur nilai murni sememangnya amat dituntut di LPM memandangkan ia melaksanakan tugas-tugas sulit yang mementingkan keluhuran budi agar peperiksaan yang dijalankan dengan adil, sahih dan amanah.

Sebagai pengukuhan kepada maklumat dan informasi yang diperoleh melalui ceramah-ceramah yang diadakan, slot untuk pembentangan kertas kerja berkaitan pelaksanaan kempen ini dapat diperuntukkan dalam seminar pentaksiran yang akan diadakan oleh LPM pada tahun hadapan. Dengan ini warga LPM khasnya dan peserta seminar secara umumnya dapat melihat bagaimana budi perkerti dan nilai murni dapat membantu pentaksir dan yang ditaksir. Dengan itu warga LPM akan sedar bahawa dengan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dan budi perkerti mulia ianya bukan sahaja menjadikan kita insan yang lebih baik malah membantu meningkatkan kualiti kerja . Di samping itu pengurusan LPM boleh mengadakan bengkel formal dan tidak formal untuk memberi ruang kepada warga LPM berbincang tentang pandangan dan cadangan mereka bagaimana kempen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan mengikut keperluan bahagian, sektor dan unit masing-masing. Memandangkan personel, tugas dan tanggungjawab satu unit dengan satu unit yang lain agak berbeza mungkin penekanan nilai juga turut berbeza. Dengan adanya bengkel-bengkel tersebut kakitangan LPM akan dapat mencadangkan aktiviti-aktiviti khusus yang dapat menjurus kepada keperluan unit masing-masing. Contohnya, unit yang menguruskan bahan bahan sulit dan terhad tetapi kurang berinteraksi dengan pihak luar penekanan yang lebih kepada nilai amanah berbanding dengan unit yang memberi khidmat kepada pelanggan dimana kesopanan dan perkhidmatan yang ramah mesra lebih dititikberatkan walaupun secara umumnya semua warga LPM ingin menghayati dan mengamalkan kesemua nilai murni. Oleh yang demikian setiap warga LPM akan dapat menghayati dan mengamalkan budi pekerti dan nilai-nilai murni secara umumnya dan di masa yang sama dapat memberi penekanan khusus kepada nilai-nilai yang dapat membantu meningkatkan kualiti kerja. Dengan secara tidak langsung ini akan dapat menaikkan imej LPM di peringkat nasional dan antarabangsa. Pemahaman secara jelas dan lengkap nilai-nilai murni yang perlu dipelihara akan memastikan imej dan pandangan masyarakat terhadap LPM kekal dihormati dalam menjamin perlaksaan peperiksaan yang adil, sahih dan amanah.

Kempen ini dapat juga diterapkan dalam perhimpunan bulanan LPM. Setiap kali perhimpunan bulanan diadakan semua warga LPM akan membaca Ikrar Kakitangan Lembaga Peperiksaan.(Lampiran A). Di dalam ikrar tersebut jelas menekankan pentingnya amalan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada kakitangan LPM. Antaranya menepati masa dan waktu, memurnikan akhlak dan meninggikan mutu kerja. Apabila setiap kali perhimpunan, setiap warga LPM melafazkan ikrar tersebut dengan ikhlas, ianya akan dihayati dan diamalkan. Disamping itu penekanan tentang isi kandungan ikrar tersebut dapat di berikan oleh pucuk pimpinan dalam ucapan bulanan yang disampaikan. Semasa perhimpunan bulanan juga warga LPM boleh diingatkan tentang Piagam Pelanggan LPM (Lampiran B), Misi LPM (Lampiran C), dan Wawasan LPM ( Lampiran D). Didalam piagam pelanggan, misi serta wawasan LPM tertera banyak nilai-nilai yang ingin diterapkan melalui kempen ini sama ada secara tersurat atau tersirat. Dengan ini warga LPM akan dapat mengaitkan hasrat serta tujuan kempen ini dengan tugas dan tanggunjawab masing-masing sebagai pelaksana misi dan wawasan LPM. Akan jelas kepada semua bahawa kempen ini tidak berdiri hanya sebagai satu kempen sahaja tetapi semua akan sedar bahawa misi kempen ini tertera di dalam misi LPM.. Logo LPM (Lampiran E) juga boleh digunakan untuk mengingatkan semua tentang moto LPM untuk menjalankan tugas dengan adil, sahih dan amanah yang juga merupakan nilai-nilai murni.

Aktiviti ringan dan menyeronokkan juga dapat diadakan untuk dijadikan selingan kepada aktiviti-aktiviti yang dinyatakan diatas. Salah satu aktiviti menarik yang boleh diadakan untuk mencuri perhatian warga LPM adalah dengan mengadakan pelbagai bentuk pertandingan yang bertemakan Budi Pekerti dan Nilai-nilai Murni Dalam Pengurusan Pentaksiran. Pertandingan menulis cerpen ,mendeklamasikan sajak, berbalas pantun dan melukis poster adalah antara aktiviti yang boleh menarik perhatian warga LPM daripada peringkat pengurusan hinggalah kepada kakitangan sokongan. Informasi yang telah diperoleh daripada ceramah-ceramah, seminar dan bengkel yang telah diadakan dapat digunakan dalam menyediakan hasilan untuk dipertandingkan. Hasil nukilan yang telah terhasil dikongsi bersama dengan semua warga LPM sama ada melalui pameran atau edaran. Selain daripada itu pertunjukkan pentas oleh warga LPM sempena hari keluarga atau semasa Hari Q dengan bertemakan Nilai Murni Meningkatkan Kesahan dan Kebolehpercayaan Pentaksiran dapat menghiburkan sambil menyampaikan mesej dengan berkesan. Pertandingan nyanyian berunsurkan nilai-nilai murni boleh turut diadakan. Disamping itu tayangan video, filem atau dokumentari yang bertemakan budi perkerti dan nilai murni dapat dipertontonkan kepada warga LPM semasa waktu rehat atau semasa aktiviti sosial yang dirancang. LPM juga boleh memberi ganjaran kepada pekerja yang menjalankan tugasnya dengan berbudi pekerti dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. Ganjaran yang diberikan tidak semestinya berbentuk kewangan tetapi boleh diberi dalam bentuk penghargaan atau pujian. Ini akan menggalakkna mereka meneruskan sikap terpuji ini dan menjadi galakkan tidak langsung kepada warga LPM yang lain. Satu lagi cara yang berkesan ialah kaeadh yang berlawanan dengan ganjaran iaitu hukuman. Walaupun ianya bukanlah sesuatu yang sesuai diparktikkan dalam suasana biasa tetapi bagi kes hard core hukuman yang berbentuk surat amaran dan tidakan disiplin perlu dilaksankan untuk memastikan sikap negative tidak diteruskan dan lebih buruk lagi akan menjadi ikutan sekiranya tindakan tidak di ambil. Organisasi juga boleh menggunakan kaedah extension di mana organisasi membuang ( remove) perkara yang menyebabkan para pekerja menunjukkan tindak tanduk yang tidak selaras dengan hasrat kempen ini. Dengan itu punca kepada ketidakaturan sikap dan perlakuan perlu dikenalpasti dan seterusnya mengusahakan sesuatu untuk menghapuskan punca tersebut. Contohnya sekiranya didapati punca seorang kakitangan bersikap kasar dengan pelanggan adalah kerana kakitangan tersebut tidak suka dengan tugas yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan perlu berusaha berbincang dengan kakitangan tersebut dan menempatkannya di bahagaian yang lebih sesuai dengan kakitangan tersebut.


Pemahaman dan perlaksaan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni di Lembaga Peperiksaan Malaysia diharap dapat memupuk semangat kerjasama, hormat-menghormati dan mewujudkan iklim pekerjaan yang selesa. Iklim pekerjaan yang selesa akan memastikan keselesaan setiap individu melaksanakan tugas tanpa tekanan seterusnya meningkatkan kualiti kerja. Kejujuran serta amanah dalam melaksanakan tugas akan meninngkatkan martabat LPM. Kemampuan LPM menerapkan nilai murni dikalangan kakitangan banyak bergantung kepada kemampuan pemimpin merancang serta menerapkan nilai murni. Pemimpin yang baik seharusnya dihormati dan disegani bukan seorang pemimpin yang ditakuti. Contoh dan tauladan dari seorang pemimpin akan memastikan ia disegani dan dihormati. Kepimpinan melalui tauladan ini dapat diperkukuhkan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dicadangkan. Dengan itu teori dan praktikal dapat digabungkan dan akan terhasillah warga LPM yang akan dapat menjayakan hasrat kempen yang selari dengan keperluan sebagai warga pentaksiran Negara yang tercinta ini.

BAHASA JIWA BANGSA

Peribahasa Melayu ada berkata, “bahasa jiwa bangsa”. Maksudnya, daripada bahasa orang dapat mengenal kita. Makna ini sangat luas. “Bahasa” dalam peribahasa ini tidak hanya bererti bahasa sebagai sistem linguistik yang terdiri daripada lambang-lambang bunyi (fonetik atau fonem) yang disusun dalam bentuk perkataan dan seterusnya dalam bentuk kalimat atau ayat. Bahasa merujuk lambang budaya dan fungsi atau peranan bahasa sebagai satu sistem perhubungan sosial dalam masyarakat. Ahli antropologi budaya dan antropologi sosial lebih tertarik untuk mengkaji bahasa dari sistem atau struktur linguistiknya semata-mata.
Asmah Haji Omar (1988), seorang tokoh linguistik Melayu telah memberi pengertian tentang bahasa dalam erti kata yang luas. Menurut beliau bahasa merupakan firasat atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan. Dalam konteks ini, bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya, iaitu cara hidup dan persekitaran fizikal serta sosial masyarakat tersebut. Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka, dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi.
Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).
Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Haji Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adat resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti.
Kesantunan, bersopan-santun, bersopan, atau bersantun merupakan gambaran peribadi mulia yang perlu kita amalkan sebagai salah satu cara hidup. Bersopan-santun boleh berlaku di dalam lakuan bahasa yang formal atau tidak formal. Lakuan bahasa juga boleh disamakan dengan fungsi butir pertuturan atau tutur kata. Kesantunan dalam bahasa dan komunikasi memerlukan dua kawalan tindakan iaitu pertuturan dan mengawal perilaku. Mengawal pertuturan bermakna kita tidak kerap menggunakan perkataan yang bernada tanda seru, atau menyergah. Bagaimanapun, kita pula perlulah tahu membezakan ketidaksantunan dengan faktor-faktor seperti idiolek dan dialek. Walaupun dari daerah atau latar belakang sosial yang sama, tetapi tetap berlaku perbezaan pertuturan yang dikenali sebagai idiolek yang mungkin disebabkan oleh sifat fisiologi atau alat pertuturan individu itu sehingga menyebabkan sebutan yang sengau, tabiat pertuturan yang terlampau lambat, cepat tertahan-tahan dan sebagainya.
Noriah Mohamed (1998) menjelaskan bahawa kelainan bahasa yang terhasil akibat faktor sosial dinamakan dialek sosial. Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam, (1985) menjelaskan bahawa “dialek sosial juga disebut register atau laras bahasa iaitu variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaan bahasa berkenaan. Berdasarkan definisi-definisi tersebut jelaslah dialek sosial wujud hasil daripada hubungan sosial yang berlaku dalam kehidupan individu seharian. Selain itu, ia melibatkan variasi bahasa yang mengambil kira kepada faktor-faktor sosial seperti umur, jantina, pekerjaan, pendidikan, dan sebagainya. Noriah Mohamed (1998) menjelaskan lagi penggunaan bahasa dipengaruhi satu atau lebih komponen sosial berikut iaitu pemeran (siapa yang bertutur dan siapa lawan tutur), latar belakang, tempat, topik, dan fungsi.
Bahasa Melayu mempunyai sapaan dan rujukan yang berbeza daripada bahasa-bahasa lain dan setiap penuturnya mesti menguasainya dan menggunakannya dengan betul dalam konteks yang sesuai dengan lawan tutur mereka. Kesalahan penggunaan sapaan dan rujukan ini boleh menimbulkan suasana yang tegang dan tidak harmoni di antara penutur dan lawan tutur. Kata-kata bukan sahaja berfungsi untuk merujuk seseorang tetapi mendukung fungsi memperlihatkan kesopanan penutur menggunakan bahasa tersebut. Sapaan dan rujukan dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua situasi, iaitu situasi formal dan situasi tidak formal. Dalam situasi tidak formal, kebiasaannya penutur menggunakan sapaan yang merujuk hubungan akrab dengan lawan tutur.
Penggunaan bahasa formal lebih mesra dan tinggi sifatnya berbanding dengan bahasa tidak formal. Lazimnya penggunaan bahasa tidak formal mempunyai ragam bahasa yang bebas iaitu tidak mementingkan sebutan, intonasi, pilihan kata, nahu, dan sebagainya. Bahasa tidak formal terdiri daripada bahasa slanga, kolokial, bahasa pasar, dan sebagainya. Di dalam hubungan formal, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan rujukan tersendiri berbeza daripada situasi tidak formal. Dalam situasi formal biasanya pengguna bahasa Melayu menggunakan perkataan yang menunjukkan rasa hormat terhadap lawan tutur mereka. Pengguna bahasa Melayu tidak boleh mencampuradukkan penggunaan kata-kata tersebut secara sesuka hati. Penggunaan bahasa formal merujuk kepada penggunaan bahasa yang lebih teratur, lengkap, dan memerlukan semua strategi pertuturan untuk memberi gambaran yang beradat hormat dalam konteks sosial.
Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Orang Melayu menggunakan bahasa sapaan dan kata ganti nama diri ketika berkomunikasi. Status merupakan faktor penting dalam penggunaan bahasa sapaan dan kata ganti nama diri digunakan terutamanya dalam pergaulan dengan orang berdarjat tinggi, manakala dalam konteks pergaulan biasa, umur dan jarak perhubungan menjadi faktor utama. Penggunaan nama-nama panggilan kekeluargaan dan bahasa sapaan mencerminkan kedudukan seseorang itu dalam susunan kekeluargaan dan kedudukannya dalam masyarakat.
Dalam kesantunan bahasa, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilannya yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban perhubungan. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tatatertib. Cara sapaan lisan atau bertulis menurut Bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Sebagai contoh, kita menggunakan sapaan “saudari” untuk menegur seorang gadis yang belum kita kenali, atau rujukan hadirin pada sesuatu majlis. Ketika berjumpa kadi, imam atau penghulu, kita akan menggunakan sapaan “tuk”.
Dalam masyarakat Melayu, sistem sapaan boleh dikategorikan kepada tiga, iaitu kata ganti nama, kata panggilan umum dan kata panggilan dalam keluarga Melayu. Ketiga-tiga sistem panggilan ini berbeza mengikut konteks penggunaannya. Kata ganti nama dan sapaan dititikberatkan untuk ganti nama diri pertama dan kedua. Menurut Teo Kok Seong (2003) mengatakan bahawa penggunaan kata ganti nama orang kedua amat bergantung pada dua kekangan, kekuasaan dan keakraban. Bahasa sapaan berdasarkan pangkat atau status seseorang dalam masyarakat merujuk kepada gelaran pergaulan formal, gelaran warisan, gelaran kurniaan kerajaan, gelaran kurniaan ikhtisas, dan gelaran keagamaan. Dari segi komunikasi, amalan protokol yang mesti dipraktikkan ialah adab berbual, sapaan, penggunaan bahasa di istana, dan panggilan hormat. Panggilan hormat dikuatkuasakan penggunaannya dalam upacara rasmi ataupun pengacaraan bagi sesuatu majlis yang berasaskan gelaran diraja, gelaran turun-temurun, gelaran kurniaan darjah kebesaran, gelaran kurniaan ikhtisas, dan gelaran keagamaan. Masyarakat Melayu mempunyai satu aturan atau sistem tertentu berhubung dengan bahasa sapaan dan panggilan hormat dalam majlis rasmi atau upacara rasmi yang dihadiri oleh kenamaan tertentu.
Kita sebagai bangsa Melayu haruslah mengetahui sedikit sebanyak mengenai asal usul bahasa kita sendiri. Sebelum Inggeris bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa perantaraan bagi penduduk negara ini. Ia digunakan sebagai bahasa pentadbiran di semua pusat pemerintahan dan menjadi bahasa pengantar di institusi pendidikan. Perhubungan antara rakyat juga menggunakan Bahasa Melayu, termasuk di pusat-pusat perniagaan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, khususnya ketika sebelum berlaku Perang Dunia Kedua, Bahasa Melayu terus digunakan untuk tujuan urusan rasmi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Pada awal abad ke-20, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Perjuangan Bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada penjajahan. Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyebut bahawa “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi Bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah menjadi lingua franca bagi seluruh Kepulauan Melayu.
Walaupun bahasa Melayu sudah lama bertapak di Malaysia, kebanyakan bangsa kita sendiri telah memusnahkan kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Contohnya kita dapat lihat pada remaja zaman sekarang. Banyak faktor yang mempengaruhi remaja menggunakan bahasa yang kurang sopan dalam pertuturan seharian. Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan persekitaran boleh menimbulkan permulaan kepada perlakuan ini. Seseorang yang sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Semasa pembesaran remaja, didikan keluarga yang tidak mementingkan penggunaan bahasa yang baik boleh menyumbang kepada permasalahan ini. Ibu bapa yang tidak berlemah lembut dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai apabila bercakap dengan anak-anak mereka boleh mendidik anak-anak mereka menjadi begitu. Kadang kala ibu bapa yang bergaduh di hadapan anak-anak juga cenderung untuk menggunakan bahasa dan nada yang kurang baik dan ini meninggalkan contoh yang tidak baik kepada anak-anak.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran juga menyumbang kepada masalah ini. Sesetengah remaja cenderung menggunakan bahasa yang kesat dalam pergaulan seharian. Hal ini amat jelas terutamanya apabila mereka bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Sebagai contoh, perkataan seperti “sial” sering diungkapkan oleh sesetengah remaja kita bagi mengungkapkan rasa tidak puas hati atau memberi kritikan terhadap sesuatu. Namun sebenarnya perkataan sedemikian dan banyak lagi perkataan lain yang berbaur kesat serta mencarut adalah amat tidak manis didengar walaupun diungkapkan antara sesama rakan sebaya. Persoalannya adakah mereka mengerti akan maksud perkataan yang diungkapkan serta kesannya terhadap perilaku diri dan sensitiviti orang lain? Sungguh pun pertuturan itu hanya berlaku sesama mereka sendiri, adalah tidak mustahil untuk mereka menuturkannya apabila berbicara dengan orang lain.
Penggunaan bahasa kasar di dalam SMS dan blog juga tidak terlepas daripada menjadi punca kepada permasalahan ini. Kadang kala, akibat menjadi mengambil mudah akan hal ini, sensitiviti orang lain tidak dijaga. Selain itu, media juga berperanan besar dalam hal ini. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan di dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, remaja terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Pertuturan seharian kita juga mampu mempengaruhi minda separa sedar kita lalu mewujudkan tabiat berfikir yang boleh menjurus ke arah pemikiran positif atau negatif. Hal ini selanjutnya mampu mencorakkan sikap dan emosi kita terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Maka apabila kita sentiasa bertutur dengan perkataan yang kasar atau negatif, kita sebenarnya secara tidak langsung memprogramkan minda kita ke arah pemikiran negatif. Kesannya, kita bakal membentuk tingkah laku dan emosi yang negatif pula.
Cara kita menggunakan baha¬sa Melayu atau ragam tertentu bahasa Melayu menunjukkan kelakuan budaya, sosial atau taraf sosial kita dalam masyarakat. Orang Melayu melihat bahasa sebagai sistem budaya. Status sosial dan kelakuan budaya atau adat mereka dapat diketahui melalui bahasa. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan bangsa dalam peribahasa ini, yakni jenis atau kelas sosial orang itu. Kedua, bahasa ialah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa. Bangsa tidak lagi bererti kelas sosial atau adat orang itu tetapi sebagai entiti atau kesatuan sosiopolitik atau tamadun supra¬etnik yang dalam bahasa Inggeris disebut nation. Kita mengenal bangsa Melayu berdasarkan bahasa yang mereka miliki dan gunakan. Bahasa inilah yang menjadi alat pembentuk tamadun bangsa Melayu sepanjang sejarahnya. Bahasa inilah yang digunakan sebagai alat pemikiran untuk menghasilkan ilmu dan karya-karya besar kesusasteraan dan seni bangsa Melayu.

Kita dapat memperluas makna peribaha¬sa ini dengan memasukkan aspek kecekapan berbahasa dari segi penguasaan peraturan linguistiknya sebagai salah satu tanda kekuatan jati diri atau kemajuan tamadun bangsa Melayu. Banyak contoh di dunia yang menunjukkan sesuatu bang¬sa itu tidak maju adalah kerana mereka tidak pandai lagi menggunakan bahasa sendiri sebagai alat pemikiran, alat ilmu dan kemajuan bangsa dan membiarkan fikiran atau minda mereka terus dijajah oleh budaya bahasa asing, terutama bahasa bekas penjajah. Orang Melayu di Malaysia nampaknya sedang menghadapi masalah tersebut. Rata-rata orang Melayu lebih banyak menggunakan bahasa Melayu yang ber¬campur baur dengan bahasa Inggeris, dalam lebih 75% komunikasi lisan setiap hari, baik dalam komunikasi sosial yang biasa mahupun dalam komunikasi formal.
Menurut Scrhrammn (seperti yang dipetik dalam Ahmad Kamil Mohamed, 1992) mendefinisikan komunikasi sebagai usaha untuk berkongsi maklumat, satu idea dan sikap. Menurut beliau lagi komunikasi memerlukan tiga elemen iaitu sumber, mesej, dan destinasi. Komunikasi adalah satu organisme kepada satu rangsangan (stimulus). Sekiranya rangsangan itu tidak dipedulikan oleh seseorang, jadi tidak akan berlaku komunikasi. Hal ini menunjukkan bahawa komunikasi yang baik dapat menunjukkan keperibadian bangsa Melayu kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang baik yang penuh dengan kesantunan, proses perantaraan dengan pihak penerima akan berlaku dengan baik. Bahasa yang kita gunakan mencerminkan keperibadian kita sebagai bangsa Melayu. Jika buruk bahasa yang kita gunakan, maka buruklah perspektif penerima yang mungkin dari bangsa lain. Bahasa itu sangat penting kerana merupakan peranan utama dalam perkongsian maklumat antara sumber mesej dan destinasi.
Wabak yang melanda dan menjejaskan kesantunan bahasa kita pada masa kini ialah bahasa rojak. Bahasa rojak merupakan bahasa Melayu yang dicampuradukkan dengan bahasa lain seperti Bahasa Inggeris. Isu bahasa rojak kembali mendapat perhatian umum ekoran pengharaman lagu seperti Seksis dan Diva nyanyian Anita Sarawak dan Tipah Tertipu nyanyian Ruffedge oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) kerana mempunyai unsur bahasa rojak. Kerajaan perlu bertegas dalam menangani isu bahasa rojak jika mahu kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikekalkan. Tokoh akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat (Berita Harian - 29/04/2004), jika tidak dikawal semangat slogan `Bahasa Jiwa Bangsa’ akan luntur khususnya di kalangan generasi akan datang. Mereka bimbang, memandangkan penggunaan bahasa rojak digunakan secara meluas termasuk di media elektronik.
Menurut pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Musa Abu Hassan (Berita Harian - 29/04/2004, hlm. 4) semua pihak mesti bekerjasama dalam usaha menghapuskan penggunaan bahasa rojak terutamanya di media dan majlis rasmi kerajaan. Bahasa Inggeris berjaya dimartabatkan oleh British tanpa ada campuran atau dirojakkan, jadi kita mesti menunjukkan bahasa Melayu yang sebenar dalam urusan kita. Jangan dicampuradukkan, jika ingin menggunakan bahasa Melayu, gunakan sepenuhnya begitu juga bahasa Inggeris. Bahasa yang rosak mencerminkan bangsa yang rosak. Lebih teruk, golongan itu tidak sedar mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Negara. Pakar bahasa dan linguistik Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (Berita Harian - 29/04/2004, hlm.4) berkata, badan khas tersebut sangat penting sebelum masalah bahasa Melayu semakin rumit dan sukar untuk di atasi terutamanya di sektor swasta. Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr. Siti Zobidah Omar berkata (Berita Harian - 29/04/2004, hlm.4), penggunaan bahasa rojak boleh mempengaruhi penulisan individu tanpa disedari. Katanya, penggunaan bahasa rojak untuk komunikasi seharian juga boleh menghadkan perbendaharaan kata sedangkan bahasa Melayu kaya dengan unsur tersebut.
Kesimpulan di sini, adalah sangat penting untuk kita saling menjaga kesantunan bahasa Melayu kita supaya dapat memartabatkan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang sungguh unik dan harmonis di mata dunia. Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong (Berita Harian - 29/04/2004, hlm.4) berkata penilaian tentang kesantunan bahasa ditentukan secara mutlak oleh pihak yang mendengar atau diajak bercakap. Katanya lagi, untuk berfungsi sebagai anggota komuniti bahasa Melayu yang cekap, seseorang mestilah menguasai bahasa Melayu yang melewati komponen linguastik dan struktur bahasa. Ini adalah kerana kebolehan berbahasa Melayu bukan setakat memerlukan pengetahuan menghasilkan ayat-ayat gramatis. Malah, kita harus ada pengetahuan tentang apa yang dilafazkan, kepada siapa dan dalam situasi bagaimana serta cara melafazkannya. Sebagai penutup, apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi, maka lambat-laun hilanglah bangsa itu. Sikap meminggirkan bahasa akan melenyapkan bangsa sendiri dalam negara bangsa yang dibina sejak berkurun lamanya. Bak kata pepatah, “bahasa melambangkan jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”. Tidak maju sesuatu bangsa itu tanpa adanya bahasa.

KEMPEN BUDI BAHASA & NILAI-NILAI MURNI

VISI
Budi Bahasa Intisari Jatidiri Bangsa Malaysia

MISI
Melahirkan Masyarakat Malaysia Yang Berbudi Bahasa

OBJEKTIF
Menanam, Menghayati dan Mengamalkan Nilai-nilai Murni

TEMA
Bagi tahun 2006, nilai murni yang dipilih sebagai tema ialah Kesopanan. Ia selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan' dan diterjemahkan ke dalam aktiviti-aktiviti kekeluargaan, pembelajaran, kemasyarakatan dan perkhidmatan.


Aktiviti-aktiviti Selari Dengan Tema



1. Mengenang Jasa Ibu Dan Bapa (Kekeluargaan)
Mengadakan aktiviti seperti makan sekeluarga, menghormati ibu dan bapa, meraikan Hari Ibu dan Hari Bapa, pertandingan sajak, pertandingan bergambar dan minggu keluarga.


2. Pelajar Berbudi Bahasa (Pembelajaran)
Mengadakan pertandingan pidato, bahasa, pantun, drama, sketsa, choral speaking,boria, dikir barat, kuiz, nasyid, Kembara Budi Bahasa, melukis, animasi, Anugerah Asrama Terbilang dan Kem Jatidiri.


3. Berbudi Bahasa (Kemasyarakatan)
Mengadakan aktiviti seperti Minggu Budi Bahasa, Kenali Jiran Anda dan Kempen Pemanduan Bersopan.

4. Senyum dan Terima Kasih (Perkhidmatan)
Mengadakan kempen 'Kenali Saya' bagi anggota penguatkuasaan dan perkhidmatan kaunter supaya mengamalkan budaya senyum, memperkenalkan diri dan mengucapkan terima kasih.

5. Cintai Alam Sekitar, Flora dan Founa
Mengadakan aktiviti seperti gotong-royong 'Sungaiku Bersih Alamku Permai','Tandas Bersih','Kampung Indah Masyarakat Ceria','Anugerah Bandar Berbudi Bahasa','Anugerah Gerai/Pasaraya Terbaik' dan 'Anugerah Untuk Perusahaan Kecil'

Kempen ini perlu diadakan kerana kedapatan di kalangan masyarakat masa kini nilai-nilai dan amalan hidup yang kasar, yang langgar bahasa, yang tidak mengendahkan tatasusila dan beradab. Cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan seterusnya menimbulkan tidak puas hati di kalangan orang ramai.

Ada yang menjawab telefon dengan kasar dan acuh tak acuh (atau langsung tidak terjawab), surat-menyurat rakyat yang lambat dijawab, merosotnya amalan gotong-royong dan kecenderungan menolong orang lain dalam kesusahan, menghilangnya amalan hormat-menghormati identiti manusia dan pihak-pihak tertentu yang dahulunya dihormati, keterlaluan mengejar kemajuan kebendaan sehingga kita lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan semula secara menyeluruh. Tuntutan Rukunegara tentang ketatasusilaan yang baik harus diisi semula. Bangsa Malaysia yang dicita-cita harus terus berbekal amalan-amalan murni.

Sunday, March 21, 2010

Strategi Bersepadu Atasi Pencemaran Air

Strategi Bersepadu Atasi Pencemaran Air

AIR adalah komponen penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Air sumber penting untuk minuman, sistem kebersihan, pertanian, industri, pembangunan bandar, kuasa hidro, perikanan, pengangkutan, pengurusan tanah rata atau rendah dan kegiatan lain. Pengurusan air secara tidak cekap boleh menyebabkan wujudnya krisis air.

Air mewakili 70 peratus daripada isi bumi dan tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah antara bahan semula jadi paling penting di dunia. Air mengandungi hidrogen dan oksigen dan ia amat penting dalam isi planet ini untuk membesar dan tumbuh.

Walaupun mengetahui kepentingan air dalam kehidupan, manusia bagaimanapun nampaknya begitu mudah mengabaikannya dengan mencemarkannya dan mengotorkan longkang, sungai, tasik dan laut.

Pengarah Urusan Segi Perkasa Sdn Bhd, Hisham Jabar, dalam kertas kerja bertajuk Meminimumkan Pencemaran Alam Sekitar Melalui Pengurusan Industri Kumbahan Air Secara Efektif, berkata secara perlahan-lahan manusia sebenarnya mengancam planet sehingga ke tahap organisma mula mati pada kadar yang amat pantas.

Selain ancaman terhadap organisma yang mulai mati, air minuman yang paling penting untuk menjalani kehidupan sihat juga kadangkala dicemari dengan serius. Sehubungan itu, untuk mengatasi pencemaran air, kita harus memahami masalah dan sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian.

Pencemaran mengikut definisi bermaksud: "Untuk merosakkan atau tidak bersih atau kotor." Pencemaran air berlaku apabila sumber air dicemari berikutan sejumlah besar bahan tertentu bercampur dalam air. Apabila air dirasakan tidak sesuai untuk digunakan manusia, maka ia akan didefinisikan sebagai pencemaran air.

Ada dua jenis pencemaran air yang biasa kita dengar; sumber terus atau sumber yang tidak terus. Pencemaran dari sumber terus bermaksud apabila bahan yang bahaya dipancarkan kepada sumber air, contohnya limpahan minyak ke dalam laut. Contoh lain pencemaran sumber terus ialah sisa buangan dari kilang, pengaliran bahan cairan dari kilang, kilang rawatan bahan buangan dan banyak lagi yang terdedah kepada mencemarkan sumber air utama.

Pencemaran dari sumber yang tidak terus pula menyumbangkan pencemaran dari perubahan alam sekitar. Sebagai contoh ialah racun serangga di ladang yang kemudian mengalir ke tempat lain menerusi hujan yang kemudian memberi kesan kepada kehidupan akuatik. Contoh lain pula ialah pencemaran yang memasuki bekalan air menerusi tanah atau bumi dan daripada atmosfera air hujan. Tanah dan air dari bumi mengandungi sisa keladak daripada kerja pertanian manusia (contohnya racun serangga di ladang) yang dimusnahkan dengan tidak betul. Pencemaran atmosfera juga berpunca daripada manusia seperti penggunaan kenderaan (asap ekzos, kilang dan juga proses membuat roti).

Pengaliran keluar kumbahan air menerusi sektor perindustrian sama ada berskala besar, sederhana atau kecil adalah antara punca serta penyumbang kepada pencemaran alam sekitar jika tiada perancangan, langkah pencegahan dan rawatan secara efektif. Kumbahan air mengandungi bahan keluli, bakteria, organik dan bahan bukan organik boleh merosakkan alam sekitar serta akan meningkatkan ancaman kepada alam sekitar dan sekali gus mencemarkan air.

Air kumbahan boleh dikategorikan kepada beberapa jenis sama ada ia mengandungi bahan keluli, organik, bahan bukan organik, serangan bakteria dan pencemaran jenis lain. Sehubungan itu, dengan memahami bentuk sesetengah air lebihan, kita boleh merawat air lebihan berkenaan secara efektif untuk memastikan ia mencapai tahap kebersihan yang sesuai dengan taraf alam sekitar.

Bagaimanapun, ada teknologi untuk mengawasi pencemaran dari sumber terus walaupun faktor politik mungkin menyukarkan keadaan. Pencemaran dari sumber tidak terus bagaimanapun sukar dikawal. Pencemaran yang berpunca daripada sumber tidak terus adalah faktor majoriti atau utama kepada pencemaran yang berlaku di tasik dan sungai.

Pencemaran air kumbahan sudah menjadi krisis utama dunia. Bekalan air berkualiti yang tidak menentu untuk bahan minuman, pertanian, perladangan, industri dan lain-lain sejak bertahun-tahun lalu turut menimbulkan masalah. Dengan bekalan air yang tidak mencukupi, cara rawatan dan kitar semula adalah perkara utama yang harus dicapai untuk mengekalkan sumber bekalan air yang amat terhad. Secara geografi, pencemaran air lebihan di Malaysia secara amnya tidak kritikal dan hanya memberikan kesan minimum kepada alam sekitar, masyarakat dan pertanian.

Bagaimanapun, ada beberapa laporan mengenai krisis pencemaran air, penyakit berbahaya dan beberapa isu lain yang penting untuk memastikan rawatan air lebihan itu menjadi lebih efektif.