Monday, March 29, 2010

BAHASA JIWA BANGSA

Peribahasa Melayu ada berkata, “bahasa jiwa bangsa”. Maksudnya, daripada bahasa orang dapat mengenal kita. Makna ini sangat luas. “Bahasa” dalam peribahasa ini tidak hanya bererti bahasa sebagai sistem linguistik yang terdiri daripada lambang-lambang bunyi (fonetik atau fonem) yang disusun dalam bentuk perkataan dan seterusnya dalam bentuk kalimat atau ayat. Bahasa merujuk lambang budaya dan fungsi atau peranan bahasa sebagai satu sistem perhubungan sosial dalam masyarakat. Ahli antropologi budaya dan antropologi sosial lebih tertarik untuk mengkaji bahasa dari sistem atau struktur linguistiknya semata-mata.
Asmah Haji Omar (1988), seorang tokoh linguistik Melayu telah memberi pengertian tentang bahasa dalam erti kata yang luas. Menurut beliau bahasa merupakan firasat atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan. Dalam konteks ini, bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya, iaitu cara hidup dan persekitaran fizikal serta sosial masyarakat tersebut. Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik muka, dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan (1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni dalam komunikasi.
Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan Levinson, 1987).
Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Haji Omar (2000) mengaitkannya dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar. Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya msayarakatnya yang berpegang pada adat resam, malah diperkukuh oleh pegangan Islam yang dianuti.
Kesantunan, bersopan-santun, bersopan, atau bersantun merupakan gambaran peribadi mulia yang perlu kita amalkan sebagai salah satu cara hidup. Bersopan-santun boleh berlaku di dalam lakuan bahasa yang formal atau tidak formal. Lakuan bahasa juga boleh disamakan dengan fungsi butir pertuturan atau tutur kata. Kesantunan dalam bahasa dan komunikasi memerlukan dua kawalan tindakan iaitu pertuturan dan mengawal perilaku. Mengawal pertuturan bermakna kita tidak kerap menggunakan perkataan yang bernada tanda seru, atau menyergah. Bagaimanapun, kita pula perlulah tahu membezakan ketidaksantunan dengan faktor-faktor seperti idiolek dan dialek. Walaupun dari daerah atau latar belakang sosial yang sama, tetapi tetap berlaku perbezaan pertuturan yang dikenali sebagai idiolek yang mungkin disebabkan oleh sifat fisiologi atau alat pertuturan individu itu sehingga menyebabkan sebutan yang sengau, tabiat pertuturan yang terlampau lambat, cepat tertahan-tahan dan sebagainya.
Noriah Mohamed (1998) menjelaskan bahawa kelainan bahasa yang terhasil akibat faktor sosial dinamakan dialek sosial. Raminah Haji Sabran dan Rahim Syam, (1985) menjelaskan bahawa “dialek sosial juga disebut register atau laras bahasa iaitu variasi bahasa yang berkaitan dengan penggunaan bahasa berkenaan. Berdasarkan definisi-definisi tersebut jelaslah dialek sosial wujud hasil daripada hubungan sosial yang berlaku dalam kehidupan individu seharian. Selain itu, ia melibatkan variasi bahasa yang mengambil kira kepada faktor-faktor sosial seperti umur, jantina, pekerjaan, pendidikan, dan sebagainya. Noriah Mohamed (1998) menjelaskan lagi penggunaan bahasa dipengaruhi satu atau lebih komponen sosial berikut iaitu pemeran (siapa yang bertutur dan siapa lawan tutur), latar belakang, tempat, topik, dan fungsi.
Bahasa Melayu mempunyai sapaan dan rujukan yang berbeza daripada bahasa-bahasa lain dan setiap penuturnya mesti menguasainya dan menggunakannya dengan betul dalam konteks yang sesuai dengan lawan tutur mereka. Kesalahan penggunaan sapaan dan rujukan ini boleh menimbulkan suasana yang tegang dan tidak harmoni di antara penutur dan lawan tutur. Kata-kata bukan sahaja berfungsi untuk merujuk seseorang tetapi mendukung fungsi memperlihatkan kesopanan penutur menggunakan bahasa tersebut. Sapaan dan rujukan dalam bahasa Melayu terbahagi kepada dua situasi, iaitu situasi formal dan situasi tidak formal. Dalam situasi tidak formal, kebiasaannya penutur menggunakan sapaan yang merujuk hubungan akrab dengan lawan tutur.
Penggunaan bahasa formal lebih mesra dan tinggi sifatnya berbanding dengan bahasa tidak formal. Lazimnya penggunaan bahasa tidak formal mempunyai ragam bahasa yang bebas iaitu tidak mementingkan sebutan, intonasi, pilihan kata, nahu, dan sebagainya. Bahasa tidak formal terdiri daripada bahasa slanga, kolokial, bahasa pasar, dan sebagainya. Di dalam hubungan formal, bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan rujukan tersendiri berbeza daripada situasi tidak formal. Dalam situasi formal biasanya pengguna bahasa Melayu menggunakan perkataan yang menunjukkan rasa hormat terhadap lawan tutur mereka. Pengguna bahasa Melayu tidak boleh mencampuradukkan penggunaan kata-kata tersebut secara sesuka hati. Penggunaan bahasa formal merujuk kepada penggunaan bahasa yang lebih teratur, lengkap, dan memerlukan semua strategi pertuturan untuk memberi gambaran yang beradat hormat dalam konteks sosial.
Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Orang Melayu menggunakan bahasa sapaan dan kata ganti nama diri ketika berkomunikasi. Status merupakan faktor penting dalam penggunaan bahasa sapaan dan kata ganti nama diri digunakan terutamanya dalam pergaulan dengan orang berdarjat tinggi, manakala dalam konteks pergaulan biasa, umur dan jarak perhubungan menjadi faktor utama. Penggunaan nama-nama panggilan kekeluargaan dan bahasa sapaan mencerminkan kedudukan seseorang itu dalam susunan kekeluargaan dan kedudukannya dalam masyarakat.
Dalam kesantunan bahasa, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilannya yang tersendiri. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban perhubungan. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tatatertib. Cara sapaan lisan atau bertulis menurut Bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa. Sebagai contoh, kita menggunakan sapaan “saudari” untuk menegur seorang gadis yang belum kita kenali, atau rujukan hadirin pada sesuatu majlis. Ketika berjumpa kadi, imam atau penghulu, kita akan menggunakan sapaan “tuk”.
Dalam masyarakat Melayu, sistem sapaan boleh dikategorikan kepada tiga, iaitu kata ganti nama, kata panggilan umum dan kata panggilan dalam keluarga Melayu. Ketiga-tiga sistem panggilan ini berbeza mengikut konteks penggunaannya. Kata ganti nama dan sapaan dititikberatkan untuk ganti nama diri pertama dan kedua. Menurut Teo Kok Seong (2003) mengatakan bahawa penggunaan kata ganti nama orang kedua amat bergantung pada dua kekangan, kekuasaan dan keakraban. Bahasa sapaan berdasarkan pangkat atau status seseorang dalam masyarakat merujuk kepada gelaran pergaulan formal, gelaran warisan, gelaran kurniaan kerajaan, gelaran kurniaan ikhtisas, dan gelaran keagamaan. Dari segi komunikasi, amalan protokol yang mesti dipraktikkan ialah adab berbual, sapaan, penggunaan bahasa di istana, dan panggilan hormat. Panggilan hormat dikuatkuasakan penggunaannya dalam upacara rasmi ataupun pengacaraan bagi sesuatu majlis yang berasaskan gelaran diraja, gelaran turun-temurun, gelaran kurniaan darjah kebesaran, gelaran kurniaan ikhtisas, dan gelaran keagamaan. Masyarakat Melayu mempunyai satu aturan atau sistem tertentu berhubung dengan bahasa sapaan dan panggilan hormat dalam majlis rasmi atau upacara rasmi yang dihadiri oleh kenamaan tertentu.
Kita sebagai bangsa Melayu haruslah mengetahui sedikit sebanyak mengenai asal usul bahasa kita sendiri. Sebelum Inggeris bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Bahasa Melayu menjadi satu-satunya bahasa perantaraan bagi penduduk negara ini. Ia digunakan sebagai bahasa pentadbiran di semua pusat pemerintahan dan menjadi bahasa pengantar di institusi pendidikan. Perhubungan antara rakyat juga menggunakan Bahasa Melayu, termasuk di pusat-pusat perniagaan seperti Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang sebahagian besar penduduknya terdiri daripada orang Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, khususnya ketika sebelum berlaku Perang Dunia Kedua, Bahasa Melayu terus digunakan untuk tujuan urusan rasmi di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Pada awal abad ke-20, semangat kebangsaan bergema dan orang-orang Melayu mula mengorak langkah untuk memperjuangkan bahasa ibunda mereka. Perjuangan Bahasa Melayu digerakkan serentak dengan perjuangan politik membebaskan tanah air daripada penjajahan. Akhirnya kejayaan tercapai dengan termaktubnya Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang menyebut bahawa “Bahasa Kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen”. Dengan perakuan ini, maka bermulalah era baru bagi Bahasa Melayu, satu bahasa yang pernah menjadi lingua franca bagi seluruh Kepulauan Melayu.
Walaupun bahasa Melayu sudah lama bertapak di Malaysia, kebanyakan bangsa kita sendiri telah memusnahkan kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Contohnya kita dapat lihat pada remaja zaman sekarang. Banyak faktor yang mempengaruhi remaja menggunakan bahasa yang kurang sopan dalam pertuturan seharian. Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan persekitaran boleh menimbulkan permulaan kepada perlakuan ini. Seseorang yang sering melafazkan perkataan yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut dan memberontak. Semasa pembesaran remaja, didikan keluarga yang tidak mementingkan penggunaan bahasa yang baik boleh menyumbang kepada permasalahan ini. Ibu bapa yang tidak berlemah lembut dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai apabila bercakap dengan anak-anak mereka boleh mendidik anak-anak mereka menjadi begitu. Kadang kala ibu bapa yang bergaduh di hadapan anak-anak juga cenderung untuk menggunakan bahasa dan nada yang kurang baik dan ini meninggalkan contoh yang tidak baik kepada anak-anak.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran juga menyumbang kepada masalah ini. Sesetengah remaja cenderung menggunakan bahasa yang kesat dalam pergaulan seharian. Hal ini amat jelas terutamanya apabila mereka bergaul dengan rakan-rakan sebaya. Sebagai contoh, perkataan seperti “sial” sering diungkapkan oleh sesetengah remaja kita bagi mengungkapkan rasa tidak puas hati atau memberi kritikan terhadap sesuatu. Namun sebenarnya perkataan sedemikian dan banyak lagi perkataan lain yang berbaur kesat serta mencarut adalah amat tidak manis didengar walaupun diungkapkan antara sesama rakan sebaya. Persoalannya adakah mereka mengerti akan maksud perkataan yang diungkapkan serta kesannya terhadap perilaku diri dan sensitiviti orang lain? Sungguh pun pertuturan itu hanya berlaku sesama mereka sendiri, adalah tidak mustahil untuk mereka menuturkannya apabila berbicara dengan orang lain.
Penggunaan bahasa kasar di dalam SMS dan blog juga tidak terlepas daripada menjadi punca kepada permasalahan ini. Kadang kala, akibat menjadi mengambil mudah akan hal ini, sensitiviti orang lain tidak dijaga. Selain itu, media juga berperanan besar dalam hal ini. Penggunaan perkataan yang tidak sesuai yang ditonjolkan di dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit sebanyak menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, remaja terbawa-bawa dalam kehidupan seharian. Pertuturan seharian kita juga mampu mempengaruhi minda separa sedar kita lalu mewujudkan tabiat berfikir yang boleh menjurus ke arah pemikiran positif atau negatif. Hal ini selanjutnya mampu mencorakkan sikap dan emosi kita terhadap perkara yang berlaku di sekeliling. Maka apabila kita sentiasa bertutur dengan perkataan yang kasar atau negatif, kita sebenarnya secara tidak langsung memprogramkan minda kita ke arah pemikiran negatif. Kesannya, kita bakal membentuk tingkah laku dan emosi yang negatif pula.
Cara kita menggunakan baha¬sa Melayu atau ragam tertentu bahasa Melayu menunjukkan kelakuan budaya, sosial atau taraf sosial kita dalam masyarakat. Orang Melayu melihat bahasa sebagai sistem budaya. Status sosial dan kelakuan budaya atau adat mereka dapat diketahui melalui bahasa. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan bangsa dalam peribahasa ini, yakni jenis atau kelas sosial orang itu. Kedua, bahasa ialah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa. Bangsa tidak lagi bererti kelas sosial atau adat orang itu tetapi sebagai entiti atau kesatuan sosiopolitik atau tamadun supra¬etnik yang dalam bahasa Inggeris disebut nation. Kita mengenal bangsa Melayu berdasarkan bahasa yang mereka miliki dan gunakan. Bahasa inilah yang menjadi alat pembentuk tamadun bangsa Melayu sepanjang sejarahnya. Bahasa inilah yang digunakan sebagai alat pemikiran untuk menghasilkan ilmu dan karya-karya besar kesusasteraan dan seni bangsa Melayu.

Kita dapat memperluas makna peribaha¬sa ini dengan memasukkan aspek kecekapan berbahasa dari segi penguasaan peraturan linguistiknya sebagai salah satu tanda kekuatan jati diri atau kemajuan tamadun bangsa Melayu. Banyak contoh di dunia yang menunjukkan sesuatu bang¬sa itu tidak maju adalah kerana mereka tidak pandai lagi menggunakan bahasa sendiri sebagai alat pemikiran, alat ilmu dan kemajuan bangsa dan membiarkan fikiran atau minda mereka terus dijajah oleh budaya bahasa asing, terutama bahasa bekas penjajah. Orang Melayu di Malaysia nampaknya sedang menghadapi masalah tersebut. Rata-rata orang Melayu lebih banyak menggunakan bahasa Melayu yang ber¬campur baur dengan bahasa Inggeris, dalam lebih 75% komunikasi lisan setiap hari, baik dalam komunikasi sosial yang biasa mahupun dalam komunikasi formal.
Menurut Scrhrammn (seperti yang dipetik dalam Ahmad Kamil Mohamed, 1992) mendefinisikan komunikasi sebagai usaha untuk berkongsi maklumat, satu idea dan sikap. Menurut beliau lagi komunikasi memerlukan tiga elemen iaitu sumber, mesej, dan destinasi. Komunikasi adalah satu organisme kepada satu rangsangan (stimulus). Sekiranya rangsangan itu tidak dipedulikan oleh seseorang, jadi tidak akan berlaku komunikasi. Hal ini menunjukkan bahawa komunikasi yang baik dapat menunjukkan keperibadian bangsa Melayu kita. Apabila kita menggunakan bahasa yang baik yang penuh dengan kesantunan, proses perantaraan dengan pihak penerima akan berlaku dengan baik. Bahasa yang kita gunakan mencerminkan keperibadian kita sebagai bangsa Melayu. Jika buruk bahasa yang kita gunakan, maka buruklah perspektif penerima yang mungkin dari bangsa lain. Bahasa itu sangat penting kerana merupakan peranan utama dalam perkongsian maklumat antara sumber mesej dan destinasi.
Wabak yang melanda dan menjejaskan kesantunan bahasa kita pada masa kini ialah bahasa rojak. Bahasa rojak merupakan bahasa Melayu yang dicampuradukkan dengan bahasa lain seperti Bahasa Inggeris. Isu bahasa rojak kembali mendapat perhatian umum ekoran pengharaman lagu seperti Seksis dan Diva nyanyian Anita Sarawak dan Tipah Tertipu nyanyian Ruffedge oleh Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) kerana mempunyai unsur bahasa rojak. Kerajaan perlu bertegas dalam menangani isu bahasa rojak jika mahu kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dikekalkan. Tokoh akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpendapat (Berita Harian - 29/04/2004), jika tidak dikawal semangat slogan `Bahasa Jiwa Bangsa’ akan luntur khususnya di kalangan generasi akan datang. Mereka bimbang, memandangkan penggunaan bahasa rojak digunakan secara meluas termasuk di media elektronik.
Menurut pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putera Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Musa Abu Hassan (Berita Harian - 29/04/2004, hlm. 4) semua pihak mesti bekerjasama dalam usaha menghapuskan penggunaan bahasa rojak terutamanya di media dan majlis rasmi kerajaan. Bahasa Inggeris berjaya dimartabatkan oleh British tanpa ada campuran atau dirojakkan, jadi kita mesti menunjukkan bahasa Melayu yang sebenar dalam urusan kita. Jangan dicampuradukkan, jika ingin menggunakan bahasa Melayu, gunakan sepenuhnya begitu juga bahasa Inggeris. Bahasa yang rosak mencerminkan bangsa yang rosak. Lebih teruk, golongan itu tidak sedar mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dilindungi di bawah Perlembagaan Negara. Pakar bahasa dan linguistik Melayu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (Berita Harian - 29/04/2004, hlm.4) berkata, badan khas tersebut sangat penting sebelum masalah bahasa Melayu semakin rumit dan sukar untuk di atasi terutamanya di sektor swasta. Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Dr. Siti Zobidah Omar berkata (Berita Harian - 29/04/2004, hlm.4), penggunaan bahasa rojak boleh mempengaruhi penulisan individu tanpa disedari. Katanya, penggunaan bahasa rojak untuk komunikasi seharian juga boleh menghadkan perbendaharaan kata sedangkan bahasa Melayu kaya dengan unsur tersebut.
Kesimpulan di sini, adalah sangat penting untuk kita saling menjaga kesantunan bahasa Melayu kita supaya dapat memartabatkan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang sungguh unik dan harmonis di mata dunia. Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong (Berita Harian - 29/04/2004, hlm.4) berkata penilaian tentang kesantunan bahasa ditentukan secara mutlak oleh pihak yang mendengar atau diajak bercakap. Katanya lagi, untuk berfungsi sebagai anggota komuniti bahasa Melayu yang cekap, seseorang mestilah menguasai bahasa Melayu yang melewati komponen linguastik dan struktur bahasa. Ini adalah kerana kebolehan berbahasa Melayu bukan setakat memerlukan pengetahuan menghasilkan ayat-ayat gramatis. Malah, kita harus ada pengetahuan tentang apa yang dilafazkan, kepada siapa dan dalam situasi bagaimana serta cara melafazkannya. Sebagai penutup, apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi, maka lambat-laun hilanglah bangsa itu. Sikap meminggirkan bahasa akan melenyapkan bangsa sendiri dalam negara bangsa yang dibina sejak berkurun lamanya. Bak kata pepatah, “bahasa melambangkan jiwa bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”. Tidak maju sesuatu bangsa itu tanpa adanya bahasa.

No comments:

Post a Comment