Monday, March 29, 2010

KEMPEN BUDI BAHASA
Definisi ‘kempen’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah segala usaha(kegiatan dan tindakan) yang dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan (rayuan dan lain-lain) untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapatkan sokongan umum terhadap sesuatu(matlamat dan lain-lain). ‘Budi bahasa’ pula bermaksud tingkah laku dan perbuatan. Jika digabungkan perkataan ‘nilai’ menurut W.G.Ricky & Pustay, 1999 dan perkataan ‘murni’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka perkataan ‘nilai murni’ boleh ditafsirkan sebagai prinsip, standard dan tatacara tindakan seseorang dalam sesuatu organisasi tanpa mengandungi unsur-unsur asing(biasanya unsur-unsur yang mencemarkan) bersih benar,suci, dan tulen. Dari definisi-definisi diatas dapatlah disimpulkan bahawa Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni bermaksud usaha yang terancang untuk menghasilkan masyarakat Malaysia yang mengamalkan tingkahlaku dan perbuatan berdasarkan prinsip dan standard yang elok dan baik. Melalui usaha yang terancang dan ditambah dengan matlamat yang jelas, sesuatu kempen itu akan dapat membuahkan hasil.

Persoalan yang perlu dijawab adalah, mengapakah Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni dalam sebuah masyarakat yang berteraskan keluhuran budaya dan keampuhan budi yang tersohor perlu diadakan. Masyarakat Malaysia yang berteraskan budaya Melayu sebagai pendokong, merupakan satu budaya yang terkenal di seluruh dunia. Orang Melayu sebagai bangsa yang lemah-lembut dan berbudi bahasa sudah menjadi perbualan diseluruh dunia. Apakah kempen sebegini masih diperlukan? Sukar untuk menjawabnya. Kesedaran kerajaan akan kewujudan kelemahan dikalangan masyarakat dan khususnya kakitangan kerajaan dalam aspek ini menjadi justifikasi kepada kempen. Ini bukanlah menunjukkan kita sudah tidak berbudi bahasa, tetapi kita perlu memperbetulkan apa yang ada dan menambah apa yang kurang.

Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi bertempat di Istana Budaya bertarikh 11 Januari 2005 merupakan satu kempen yang dirasakan sesuai dengan persekitaran hari ini demi kesejahteraan masa depan. Malahan, ini merupakan susulan kepada usaha Institut Sosial Malaysia (ISM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di bawah kepimpinan Datin Profesor Roziah Omar yang telah menganjurkan satu Seminar Nilai dan Pembangunan Sosial ke arah pemantapan Dasar Sosial Negara (DSN) dan masyarakat cemerlang pada 16 September 2004. Seminar ini membincangkan mengenai penyematan nilai-nilai murni dalam usaha melahirkan warga cemerlang sebagai `masyarakat kelas satu’ di sebuah negara ‘kelas pertama.’

Kempen ini adalah merupakan sambungan kepada pelbagai bentuk program penerapan nilai yang telah dilaksanakan secara berterusan sebelum ini yang telah berjaya menanam asas keutuhan yang kuat. Walaubagaimana pun permasalahan nilai dan kelemahan integriti masyarakat masih berlaku dengan ketara. Budi bahasa dan amalan murni tidak boleh bercambah dengan hanya membiarkan keadaan yang sedia ada. Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bersama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi agar tamadun kita tidak hilang mutu dan keindahan sosialnya. Untuk itu kita perlu ingat-mengingatkan akan amalan murni yang sudah hilang itu. Gerakan dan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni ini adalah puncak daripada tindakan kerajaan untuk menerapkan serta menanam nilai-nilai murni ke dalam alam fikiran, hati budi serta perilaku warganegara Malaysia di semua peringkat. Kempen ini diharap akan dapat meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.

Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, dan maklumat yang tiada batasnya, masyarakat yang dahulunya tidak banyak terdedah dengan persekitaran sejagat sekarang segalanya berada dihujung jari seperti penggunaan internet di mana teknologi ini membolehkan rakyat Malaysia menggunakannya untuk mendapatkan maklumat. Ini menyebabkan mereka lebih terdedah kepada budaya yang bertentangan dengan budaya bangsa Malaysia. Tanpa disedari budaya negatif boleh meresap dalam diri mereka dan mereka mungkin mengikut dan mengamalkan cara hidup tersebut. Penjajahan budaya hangat diperkatakan di mana remaja kini lebih cenderung memilih idola dari barat seperti penyanyi dan pelakon filem. Ramai yang begitu taksub dengan idola mereka sehingga sanggup meniru cara berpakaian yang menjolok mata, penggunaan perkataan yang kasar serta kesat, cara bergaul tanpa batasan, dan gaya hidup yang jelas melanggar tatasusila masyarakat dan agama. Penerapan nilai dan budaya yang tidak sesuai dengan norma masyarakat mudah diterima jika masyarakat tidak diberi peringatan. Tapisan maklumat dari sumber-sumber yang sukar di kawal menjadi kemahiran yang perlu ada pada diri kita. Jika tidak penerapan nilai yang tidak sejajar dengan budaya kita akan diserap tanpa disedari.

Kerajaan merasakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni perlu diadakan kerana sesetengah rakyat Malaysia kini mengamalkan cara hidup yang kasar, melanggar peraturan bahasa, membelakangkan adap sopan dan tidak mengendahkan tatasusila. Dan sekiranya dilihat kepada jabatan kerajaan secara khususnya cara memberi khidmat, cara melayani pelanggan atau orang ramai terutamanya oleh kakitangan kaunter hadapan di jabatan-jabatan kerajaan kurang cekap, ini seterusnya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orang ramai yang berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan.. Ada yang menjawab telefon dengan bahasa yang kasar, acuh tak acuh atau panggilan langsung tidak berjawab, surat-menyurat rakyat lambat dijawab, kesungguhan bekerja, menepati masa, hilangnya amalan hormat-menghormati dan lupa akan betapa pentingnya tatasusila berhemah diamalkan secara menyeluruh. Apabila berhadapan dengan pihak yang datang berurusan terdapat kakitangan yang tidak memberikan senyuman dan mengucapkan selamat datang atau assalamualaikum. Sebaliknya yang sering kita dengar adalah rungutan orang ramai tentang sikap kakitangan kerajaan yang menggunakan bahasa kasar serta menengking pelanggan yang datang berurusan. Sikap yang ditunjukkan menjadikan Pejabat-Pejabat Kerajaan dilabel sebagai tempat yang kurang mesra. Walaupun tindakan ini dilakukan oleh segelintir kakitangan, namun kesannya terpaksa dipikul oleh semua kakitangan. Bagaimana segelintir pekerja ini dapat disemai dengan nilai-nilai murni yang luhur ketika berhadapan dengan pelanggan? Apakan peranan ketua jabatan dalam menyemai nilai-nilai sebegini? Kemahiran ketua jabatan dalam bidang komunikasi berkesan akan banyak membantu kakitangan.

Selain daripada isu sikap kakitangan kerajaan apabila berurusan dengan orang ramai, perkara yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini dan perlu di beri perhatian serius adalah masaalah rasuah di kalangan kakitangan kerajaan. Walaupun rasuah di Malaysia belum sampai ke tahap kritikal tetapi kerajaan mahu membenteras rasuah sebelum ianya menjadi satu gejala yang berleluasa. Kurangnya pemahaman nilai murni serta menjalankan kerja secara jujur dan amanah menyebabkan amalan yang buruk itu terus berleluasa. Stigma yang menyatakan kakitangan kerajaan menerima rasuah telah menyebabkan ramai kakitangan kerajaan malu untuk mengaku bahawa mereka bekerja dengan kerajaan Ada juga desas-desus yang menyatakan jika orang bawahan ambil rasuah, bagaimana pula dengan pegawai atasan. Seringkali dipaparkan di akhbar hanya kakitangan bawahan sahaja yang sering didakwa menerima rasuah. Bagaimana dengan pegawai atasan? Adakah mereka boleh terlepas begitu sahaja atau adakah mungkin tidak berlaku gejala rasuah ? Jika jawapan nya ialah ia tidak berlaku, ini merupakan petunujuk yang baik dan ia merupakan contoh yang baik kepada pegawai bawahan. Sebagai ketua kepada sesuatu jabatan atau unit atau kumpulan, contoh dan teladan yang baik akan dicontohi oleh orang bawahan.

Dalam ucapan perasmian Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni, Y.A.B. Perdana Menteri mengulangi sekali lagi mesej yang telah disampaikan beliau kepada Persatuan Oxbridge Malaysia iaitu dalam era globalisasi ini kejayaan negara bergantung kepada pembangunan minda rakyat. Menurut beliau jika kita mempunyai infrastuktur kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga, kita akan pantas dikalahkan oleh negara-negara lain. Malah cita-cita Malaysia untuk mencapai taraf negara maju sangat bergantung kepada pembangunan nilai-nilai dan budaya yang betul. Nilai-nilai seperti ketulusan, kejujuran, intergriti, adil, beramanah dan akauntabiliti budaya serta sistem nilai di tekankan oleh Y.A.B Perdana Menteri. Beliau menyatakan bahawa perkara di atas adalah kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju. Beliau turut mengingatkan kita supaya tidak berpuas hati dengan aspek pembangunan luaran sahaja. Aspek dalaman yakni aspek peribadi perlu diperbaiki dan dipertingkatkan untuk mempastikan masyarakat Malaysia dapat menjadi masyarakat yang benar-benar bertamadun. First class infrastructure, third class mentality tepat mengambarkan kerisauan ramai tentang situasi negara pada masa ini di mana sifat-sifat luhur serta kesantunan budi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggaan Malaysia makin terhakis. Memiliki mentaliti kelas pertama amat penting dalam memastikan usaha kerajaan membawa Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Begitu juga jika dilihat kepada infrastuktur kerajaan dengan terdirinya Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Ianya berdiri megah dan memukau mata sesiapa yang memandang, dengan segala kemudahan kelas pertama. Bagaimana pula dengan pengisiannya? Menyediakan tenaga kerja dan pegawai kerajaan kelas pertama perlu diperhebat agar ia seiring dengan kemudahan yang ada. Mentaliti kelas pertama dikalangan kakitangan kerajaan ditagih dan nilai-nilai murni perlu menjadi teras kepada mentaliti yang hendak dipupuk. Peranan dan tangungjawab dalam memupuk mentaliti kelas pertama dikalangan kakitangan kerajaan adalah dipikul oleh setipa ketua sesebuah organisasi. Ianya dapat dijayakan dengan dengan memupuk budaya kerja yang terbaik.

Walaupun ekonomi negara terus berkembang pesat dengan penggunaan teknologi terkini, jalanraya dan projek perumahan serta perindustrian moden yang boleh dibanggakan, namun cara pemikiran dan peradaban kita tidak mengalami kemajuan yang sama, malah seolah-olah semakin mundur. Walaupun kita telah meletakkan budi pekerti sebagai asas dan tunjang dalam pelbagai dasar dan falsafah pembangunan negara, dari Rukunegara sehinggalah kepada Wawasan 2020 namun jelas aspirasi kita dalam bidang pembangunan minda dan rohaniah tidak sejajar dengan realiti kehidupan kita masakini. Ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan pembangunan rohaniah perlu diperbetulkan dengan segera sebelum budaya masyarakat kita terus merosot terutamanya dalam dunia komunikasi dan materialisme dimana pengaruh negatif senang menular ke dalam diri seseorang yamg tidak memperlengkapkan diri dengan kekuatan dalaman. Oleh kerana itu Y.A.B. Perdana Menteri berharap kempen ini akan megingatkan kita semua kepentingan pembangunan peribadi dalam meningkatkan mutu hidup kita semua supaya kita dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan tanpa mengorbankan peradaban dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

Selepas perasmian rasmi kempen ini oleh Y.A.B. Perdana Menteri, pelancaran di peringkat negeri, daerah dan organisasi telah diadakan. Bagi warga perkhidmatan awam kempen ini dilaksanakan dengan berpaksikan kepada nilai dan etika kerja penjawat awam serta Tonggak 12. Penghayatan nilai dan etika kerja amat penting kerana pelaksanaan dasar-dasar kerajaan memerlukan kakitangan yang cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab untuk memastikan semua dasar dapat direalisasikan pada tahap yang tinggi dan mempunyai imej yang bersih supaya dapat mendukung pembangunan Negara kearah peningkatan kualiti penghidupan rakyat. Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) adalah salah sebuah organisasi kerajaan yang bernaung dibawah payung Kementerian Pelajaran Malaysia dan turut terlibat secara langsung dalam menjayakan kempen ini supaya semua warga LPM menghayati nilai nilai murni dan membudayakan amalan berbudi bahasa dalam urusan seharian sebagai kakitangan kerajaan.

Dalam organisasi yang mempunyai lebih daripada 500 orang kakitangan dan mempunyai tugas yang mempunyai pelbagai pemeringkatan termasuk mengurus kerja di peringat sulit dan terhad serta berurusan dengan pelbagai peringkat termasuk badan peperiksaan luar negara, institusi pendidikan dan pentaksiran di dalam dan luar negara, media masa, badan-badan bukan kerajaan, pihak sekolah, ibubapa, pelajar dan orang awam, pelbagai kaedah dan aktiviti dapat dilaksanakan untuk menjayakan kempen tersebut.

Kempen tersebut dapat dijayakan dengan effektif dan effisien melalui kepimpinan melalui tauladan. Pemimpin menjadikan tingkahlakunya sebagai tauladan kepada kakitangan bawahan sama ada secara disedari atau tidak. Bak kata pepatah”bapa kencing berdiri, anak kencing berlari”. Jelas daripada pepatah itu sekiranya pemimpin sesuatu organisasi tidak menujukkan sifat dan sikap yang murni dan berbudi pekerti semasa menguruskan organisasi yang diketuainya pekerjanhya akan menunjukkan sikap yang lebih teruk apabila mereka berurusan dengan rakan sekerja atau orang awam yang berurusan dengan mereka. Budi bahasa dan nilai murni adalah ilmu yang tidak dapat di pelajari secara berkesan hanya dengan membaca atau mendengar sahaja seperti ilmu- ilmu lain kerana ianya perlu dihayati. Penghayatan terjadi apabila sesuatu itu dilihat berulang kali dan dicontohi amalan yang dilihat serta dilaksanakan seperti apa yang dilihat Jika pemimpin sesuatu organisasi melayan kakitangannya dengan luhur dan berbudi bahasa, perkara tersebut akan dicontohi dan kakitangan bawahannya akan menjadi segan dan malu untuk melakukan sesuatu yang melanggar peraturan. Dan menjadi lumrah manusia suka mengikut tindak tanduk dan perlakuan orang yang dikaguminya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh masyarakat bawahan. Bagaimana pun sebagai orang yang sering diperhatikan, pemimpin perlulah menjaga tutur kata, gerak laku dan sikap. Setiap tindak tanduk dan perlakuan pemimpin akan diperhatikan dan secara tidak sedar akan menjadi ikutan pengikutnya. Maka dengan itu setiap pemimpin di LPM daripada Pengarah Peperiksaan hingga kepada ketua unit bukan hanya bertanggungjawab memastikan kerja dapat dijalankan dengan baik, tepat dan berjaya tetapi juga wajib menjalankan peranan proaftif bagi menjayakan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dengan menjadi role model yang menunjukkan penghayatan nilai murni dan budi bahasa yang diharapkan daripada semua pegawai di bawah kepimpinannya.

Antara contoh pemimpin yang menunjukkan tauladan yang baik ialah Rasulullah SAW, Mahatma Ghandi dan Mother Teresa. Perkara utama yang perlu ditekankan dalam memikul jawatan pemimpin ialah melaksanakan tindakan dan keputusan supaya proses pembentukan sahsiah berakidah di kalangan warga organisasi yang dipimpin. Oleh itu setiap pemimpin yang ada di LPM mesti menjadi pemimpin yang berilmu , peka dengan isu-isu semasa dan mempunyai akhlak terpuji.. Dengan itu seorang pemimpin dapat mencari dan menjana aktiviti yang dapat membantu institusinya menjadi institusi yang disegani dan dihormati. Pemimpin yang sedemikian dapat memimpin warga organisasinya mencapai misi dan visi yang hasratkan. Sebagai seorang pemimpin, kata mesti di kota, janji mesti ditepati dan peraturan mesti dipatuhi. Kita tidak mahu pemimpin yang boleh diibaratkan seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul atau ’cakap tak serupa bikin’ Bijak bercakap tidak semestinya boleh melakukannya secara praktikal. Oleh itu, di samping bijak 'berbahasa' dan pandai 'mentazkirah' orang lain, pemimpin harus mengamalkan apa yang dikata. Arahan dan peraturan yang diwujudkan mestilah dipatuhi kerana sesuatu peraturan dibuat bukan untuk kakitangan bawahan sahaja tetapi ia juga sepatutnya dipatuhi oleh pemimpin itu sendiri. Apa akan terjadi jika pemimpin organisasi itu sendiri datang lambat ke pejabat? Sudah pasti ia akan di pandang serong dan jika perlakuan yang sama dilakukan oleh pekerja bawahan, sukar baginya untuk menegur dan memberi nasihat. Jika ia merupakan pemimpin yang baik tingkahlakunya, ia tidak perlu bercakap apa-apa. Pekerja bawahannya akan segan dan malu dan akan berubah dengan sendirinya.

Kepimpinan melalui tauladan lebih merujuk kepada keperibadian seorang pemimpin dalam membentuk masyarakat pimpinannya. Jika elok acuan maka eloklah kuihnya, jika rosak acuan kuih maka tidak terbentuklah kuih seperti yang diingini. Oleh yang demikian setiap lapisan peringkat kepimpinan di LPM mesti memastikan sentiasa menjadi contoh yang baik kepada mereka yang dipimpin supaya semua warga LPM akan mengikut corak keperibadian yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan dalam menjalankan tugas baik semasa berurusan rasmi atau tidak rasmi. Dengan itu keberkesanan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni dapat dilihat dihayati dan dipraktikkan oleh semua warga LPM dalam semua urusan harian sama ada semasa berurusan dengan orang awam atau dalam menjalankan tugas yang telah diamanahkan .

Selain daripada itu, ceramah, seminar dan bengkel perlu di adakan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian.Ceramah adalah cara yang berkesan untuk memberi input dan ilmu tentang kenapa kempen ini dilaksanakan, matlamat dan tujuan kempen ini dan bagaimana kita sebagai rakyat amnya dan kakitangan kerajaan khasnya dapat merealisasikan objektif kempen ini. Ceramah berkaitan kempen ini dapat di adakan secara langsung dengan menjemput penceramah daripada badan-badan kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kempen ini. Apabila penerangan tentang kempen ini diterima secara terus daripada mereka yang terlibat dengan perlaksanaan kempen ini, warga LPM akan dapat memperoleh maklumat yang jelas dan lengkap tentang peri pentingnya semua pihak memastikan kejayaan kempen ini demi kecemerlangan negara. Warga LPM juga akan berpeluang bertanya kepada penceramah untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang pelaksanaan kempen ini dan bagaimana warga LPM dapat memberi sumbangan dalam menjayakan kempen ini. Walaubagaimanapun ianya boleh juga dijalankan secara tidak langsung dengan menyelitkan unsur-unsur nilai dan budi pekerti dalam ceramah –ceramah peningkatan professionalisme, pengurusan, agama dan ceramah ilmuan yang sering di kelolakan oleh LPM untuk kakitangannya dan pertugas-petugas peperiksaan seperti pengawas peperiksaan, pemeriksa dan pegawai meja di negeri. Unsur-unsur nilai murni sememangnya amat dituntut di LPM memandangkan ia melaksanakan tugas-tugas sulit yang mementingkan keluhuran budi agar peperiksaan yang dijalankan dengan adil, sahih dan amanah.

Sebagai pengukuhan kepada maklumat dan informasi yang diperoleh melalui ceramah-ceramah yang diadakan, slot untuk pembentangan kertas kerja berkaitan pelaksanaan kempen ini dapat diperuntukkan dalam seminar pentaksiran yang akan diadakan oleh LPM pada tahun hadapan. Dengan ini warga LPM khasnya dan peserta seminar secara umumnya dapat melihat bagaimana budi perkerti dan nilai murni dapat membantu pentaksir dan yang ditaksir. Dengan itu warga LPM akan sedar bahawa dengan menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni dan budi perkerti mulia ianya bukan sahaja menjadikan kita insan yang lebih baik malah membantu meningkatkan kualiti kerja . Di samping itu pengurusan LPM boleh mengadakan bengkel formal dan tidak formal untuk memberi ruang kepada warga LPM berbincang tentang pandangan dan cadangan mereka bagaimana kempen ini dapat dilaksanakan dengan berkesan mengikut keperluan bahagian, sektor dan unit masing-masing. Memandangkan personel, tugas dan tanggungjawab satu unit dengan satu unit yang lain agak berbeza mungkin penekanan nilai juga turut berbeza. Dengan adanya bengkel-bengkel tersebut kakitangan LPM akan dapat mencadangkan aktiviti-aktiviti khusus yang dapat menjurus kepada keperluan unit masing-masing. Contohnya, unit yang menguruskan bahan bahan sulit dan terhad tetapi kurang berinteraksi dengan pihak luar penekanan yang lebih kepada nilai amanah berbanding dengan unit yang memberi khidmat kepada pelanggan dimana kesopanan dan perkhidmatan yang ramah mesra lebih dititikberatkan walaupun secara umumnya semua warga LPM ingin menghayati dan mengamalkan kesemua nilai murni. Oleh yang demikian setiap warga LPM akan dapat menghayati dan mengamalkan budi pekerti dan nilai-nilai murni secara umumnya dan di masa yang sama dapat memberi penekanan khusus kepada nilai-nilai yang dapat membantu meningkatkan kualiti kerja. Dengan secara tidak langsung ini akan dapat menaikkan imej LPM di peringkat nasional dan antarabangsa. Pemahaman secara jelas dan lengkap nilai-nilai murni yang perlu dipelihara akan memastikan imej dan pandangan masyarakat terhadap LPM kekal dihormati dalam menjamin perlaksaan peperiksaan yang adil, sahih dan amanah.

Kempen ini dapat juga diterapkan dalam perhimpunan bulanan LPM. Setiap kali perhimpunan bulanan diadakan semua warga LPM akan membaca Ikrar Kakitangan Lembaga Peperiksaan.(Lampiran A). Di dalam ikrar tersebut jelas menekankan pentingnya amalan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada kakitangan LPM. Antaranya menepati masa dan waktu, memurnikan akhlak dan meninggikan mutu kerja. Apabila setiap kali perhimpunan, setiap warga LPM melafazkan ikrar tersebut dengan ikhlas, ianya akan dihayati dan diamalkan. Disamping itu penekanan tentang isi kandungan ikrar tersebut dapat di berikan oleh pucuk pimpinan dalam ucapan bulanan yang disampaikan. Semasa perhimpunan bulanan juga warga LPM boleh diingatkan tentang Piagam Pelanggan LPM (Lampiran B), Misi LPM (Lampiran C), dan Wawasan LPM ( Lampiran D). Didalam piagam pelanggan, misi serta wawasan LPM tertera banyak nilai-nilai yang ingin diterapkan melalui kempen ini sama ada secara tersurat atau tersirat. Dengan ini warga LPM akan dapat mengaitkan hasrat serta tujuan kempen ini dengan tugas dan tanggunjawab masing-masing sebagai pelaksana misi dan wawasan LPM. Akan jelas kepada semua bahawa kempen ini tidak berdiri hanya sebagai satu kempen sahaja tetapi semua akan sedar bahawa misi kempen ini tertera di dalam misi LPM.. Logo LPM (Lampiran E) juga boleh digunakan untuk mengingatkan semua tentang moto LPM untuk menjalankan tugas dengan adil, sahih dan amanah yang juga merupakan nilai-nilai murni.

Aktiviti ringan dan menyeronokkan juga dapat diadakan untuk dijadikan selingan kepada aktiviti-aktiviti yang dinyatakan diatas. Salah satu aktiviti menarik yang boleh diadakan untuk mencuri perhatian warga LPM adalah dengan mengadakan pelbagai bentuk pertandingan yang bertemakan Budi Pekerti dan Nilai-nilai Murni Dalam Pengurusan Pentaksiran. Pertandingan menulis cerpen ,mendeklamasikan sajak, berbalas pantun dan melukis poster adalah antara aktiviti yang boleh menarik perhatian warga LPM daripada peringkat pengurusan hinggalah kepada kakitangan sokongan. Informasi yang telah diperoleh daripada ceramah-ceramah, seminar dan bengkel yang telah diadakan dapat digunakan dalam menyediakan hasilan untuk dipertandingkan. Hasil nukilan yang telah terhasil dikongsi bersama dengan semua warga LPM sama ada melalui pameran atau edaran. Selain daripada itu pertunjukkan pentas oleh warga LPM sempena hari keluarga atau semasa Hari Q dengan bertemakan Nilai Murni Meningkatkan Kesahan dan Kebolehpercayaan Pentaksiran dapat menghiburkan sambil menyampaikan mesej dengan berkesan. Pertandingan nyanyian berunsurkan nilai-nilai murni boleh turut diadakan. Disamping itu tayangan video, filem atau dokumentari yang bertemakan budi perkerti dan nilai murni dapat dipertontonkan kepada warga LPM semasa waktu rehat atau semasa aktiviti sosial yang dirancang. LPM juga boleh memberi ganjaran kepada pekerja yang menjalankan tugasnya dengan berbudi pekerti dan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni. Ganjaran yang diberikan tidak semestinya berbentuk kewangan tetapi boleh diberi dalam bentuk penghargaan atau pujian. Ini akan menggalakkna mereka meneruskan sikap terpuji ini dan menjadi galakkan tidak langsung kepada warga LPM yang lain. Satu lagi cara yang berkesan ialah kaeadh yang berlawanan dengan ganjaran iaitu hukuman. Walaupun ianya bukanlah sesuatu yang sesuai diparktikkan dalam suasana biasa tetapi bagi kes hard core hukuman yang berbentuk surat amaran dan tidakan disiplin perlu dilaksankan untuk memastikan sikap negative tidak diteruskan dan lebih buruk lagi akan menjadi ikutan sekiranya tindakan tidak di ambil. Organisasi juga boleh menggunakan kaedah extension di mana organisasi membuang ( remove) perkara yang menyebabkan para pekerja menunjukkan tindak tanduk yang tidak selaras dengan hasrat kempen ini. Dengan itu punca kepada ketidakaturan sikap dan perlakuan perlu dikenalpasti dan seterusnya mengusahakan sesuatu untuk menghapuskan punca tersebut. Contohnya sekiranya didapati punca seorang kakitangan bersikap kasar dengan pelanggan adalah kerana kakitangan tersebut tidak suka dengan tugas yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan perlu berusaha berbincang dengan kakitangan tersebut dan menempatkannya di bahagaian yang lebih sesuai dengan kakitangan tersebut.


Pemahaman dan perlaksaan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni di Lembaga Peperiksaan Malaysia diharap dapat memupuk semangat kerjasama, hormat-menghormati dan mewujudkan iklim pekerjaan yang selesa. Iklim pekerjaan yang selesa akan memastikan keselesaan setiap individu melaksanakan tugas tanpa tekanan seterusnya meningkatkan kualiti kerja. Kejujuran serta amanah dalam melaksanakan tugas akan meninngkatkan martabat LPM. Kemampuan LPM menerapkan nilai murni dikalangan kakitangan banyak bergantung kepada kemampuan pemimpin merancang serta menerapkan nilai murni. Pemimpin yang baik seharusnya dihormati dan disegani bukan seorang pemimpin yang ditakuti. Contoh dan tauladan dari seorang pemimpin akan memastikan ia disegani dan dihormati. Kepimpinan melalui tauladan ini dapat diperkukuhkan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dicadangkan. Dengan itu teori dan praktikal dapat digabungkan dan akan terhasillah warga LPM yang akan dapat menjayakan hasrat kempen yang selari dengan keperluan sebagai warga pentaksiran Negara yang tercinta ini.

No comments:

Post a Comment